top of page

Pas cetus polemik 'serbuan' APMM demi raih sentimen politik?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 24
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Pas didakwa mahu mencetuskan polemik terhadap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kononnya berlaku “serbuan” di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu meskipun agensi itu sudah menafikan kewujudan sebarang operasi atau latihan pada tarikh tersebut.


Dakwa Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, polemik melibatkan masjid berkenaan dicetuskan mungkin sebagai satu strategi politik bagi menimbulkan persepsi kononnya kerajaan Persekutuan cuba mengawal dan menekan institusi Islam.


"Masjid Rusila sudah lama menjadi pusat politik Pas dan sering digunakan bagi menghidupkan naratif “umat dizalimi” terutama pada ketika parti itu berdepan tekanan isu dalaman serta kegagalan pentadbiran negeri.


"Dakwaan terhadap Maritim Malaysia itu mungkin usaha mengalihkan perhatian daripada isu menurunnya hasil negeri, peningkatan hutang dan kegagalan memenuhi janji pilihanraya di negeri diterajui Pas," katanya dalam kenyataan.


Ahmad Nadhir berkata, tindakan menyerang penjawat awam menunjukkan kegagalan Pas menjawab isu berkaitan ekonomi rakyat dan urus tadbir negeri.


Beliau menegaskan penjawat awam termasuk Maritim Malaysia menjalankan tugas mengikut sumpah perkhidmatan serta Perlembagaan Persekutuan, bukan berdasarkan kepentingan politik mana-mana pihak.


Tambahnya Pas kini didakwa semakin terdesak apabila setiap kali berdepan kritikan akan muncul episod baharu berbentuk dakwaan campur tangan atau tekanan terhadap institusi Islam.


Dakwanya, strategi pembangkang sering melakukan tuduhan semberono kemudian memohon maaf. Namun permohonan maaf itu tidak pernah disebarkan seluas tuduhan awal, sekali gus menguatkan tanggapan bahawa fitnah dijadikan modal politik.


Justeru itu, beliau mengajak rakyat menolak penggunaan mimbar dan institusi masjid sebagai alat menyerang penjawat awam yang hanya menjalankan amanah demi keselamatan dan kesejahteraan negara.


"Islam tidak mengajar fitnah. Islam tidak mengajar kebencian. Kebenaran tidak perlu bersuara lantang, ia hanya perlu teguh berdiri," katanya lagi.


Pada 22 Okt lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan yang didakwa dijalankan oleh APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September yang disifatkan sebagai mengulangi peristiwa Memali 1985.


Beliau mendakwa, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.


Bagaimanapun, pihak APMM menafikan dakwaan tersebut, malah muncul satu video daripada anggota pasukan yang datang ke Masjid Rusila tersebut berkata bahawa mereka hanya solat di masjid dan tidak melakukan sebarang operasi atau latihan sebagaimana didakwa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page