top of page

Pas 'ceraikan' Bersatu, tamat penyatuan ummah demi kuasa - Mahfuz

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Jun 10
  • 2 min read

AMANAH menyifatkan keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu sebagai bukti ‘Penyatuan Ummah 1.0’ telah berkubur sekaligus mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan sebarang usaha menghidupkan semula naratif penyatuan yang didakwa hanya berubah mengikut musim pilihanraya.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tindakan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu membuktikan perjuangan yang sebelum ini digambarkan sebagai ‘penyatuan ummah’ sebenarnya tidak berasaskan prinsip yang konsisten, sebaliknya dipandu oleh percaturan kuasa semata-mata.


"Selama ini rakyat dimomokkan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah ‘penyatuan ummah’, kononnya satu gabungan suci demi Islam dan Melayu. Namun hari ini, Pas sendiri meninggalkan rakan yang mereka angkat sebagai penyelamat ummah sebelum ini.


"Persoalannya mudah, jika PN benar-benar perjuangan ummah, mengapa Pas sendiri memutuskan hubungan dengan Bersatu?


"Pas tidak tinggalkan Bersatu kerana prinsip, Pas tinggalkan Bersatu kerana 'survival' politik," katanya dalam satu kenyataan.


Lebih menarik lagi kata Mahfuz, Pas tidak menyatakan pendirian secara jelas mengapa keluar daripada PN, sebaliknya mereka mula menggunakan semula istilah ‘penyatuan ummah’ dan ‘electoral pact’, iaitu bahasa politik lama Muafakat Nasional (MN).


"Ini memberi gambaran kuat bahawa Pas sedang membuka laluan kepada kerjasama baru bersama UMNO-BN.


"Jika benar UMNO menerima semula Pas dalam kerjasama politik baru, maka UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat adakah UMNO kini bersedia merelakan politik garis keras agama berkembang semula demi kepentingan kuasa? Kerana realitinya, Pas selama ini membina politik melalui sentimen agama, budaya melabel lawan, politik kebencian, serta naratif ketakutan terhadap kaum dan pihak yang berbeza pandangan," ujarnya lagi.


Untuk rekod, minggu lalu berlaku pertemuan antara beberapa pemimpin Pas dan UMNO membincangkan untuk menghidupkan semula kerjasama di peringkat nasional.


Bagaimanapun setakat ini pemimpin tinggi UMNO belum lagi menunjukkan minat untuk bersama semula dengan Pas sebagaimana pada era 2020 - 2022 lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page