Pas Bukan Menyelamatkan Umno-BN, Tetapi Melemahkan Dari Dalam?
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Oleh: Eddiarman Mohd Yunos
ULASAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini membuka satu lembaran politik yang cukup menarik untuk diperhatikan. Buat pertama kalinya, kita menyaksikan kerjasama secara terbuka antara Pas dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Pada pandangan saya, persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada kerjasama ini mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH), tetapi siapakah yang sebenarnya bakal menerima manfaat paling besar dalam jangka panjang.
Saya tertarik mengimbau kembali kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, ketika berceramah di Simpang Jeram, Muar dalam PRN Johor. Beliau secara terbuka menyatakan bahawa jika mahu Umno berubah, "jangan bagi menang banyak kerusi". Malah beliau membayangkan bahawa jika Umno tidak mempunyai kerusi yang mencukupi, mereka akhirnya akan terpaksa memilih Pas dan PN untuk membentuk kerajaan negeri.
Kenyataan itu bukan sekadar retorik kempen. Pada hemat saya, ia memberi gambaran jelas tentang strategi politik jangka panjang Pas terhadap Umno.
Siapa korbankan kekuatan sendiri?
Hari ini, di Negeri Sembilan, kita melihat Umno dan BN memberikan ruang kepada Perikatan Nasional untuk bertanding di 11 kerusi DUN. Persoalannya, siapakah yang sebenarnya sedang mengorbankan kekuatan sendiri?
Realitinya, Pakatan Harapan memasuki PRN ini dengan asas sokongan yang masih kukuh di Negeri Sembilan. Berdasarkan keputusan pilihanraya lalu, PH mempunyai kedudukan yang baik untuk mempertahankan sebahagian besar kerusi yang dimenanginya. Di samping itu, terdapat beberapa kerusi BN yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti yang sangat tipis.
Kerusi-kerusi seperti inilah lazimnya menjadi sasaran utama mana-mana parti dalam pilihanraya kerana perubahan kecil dalam pola pengundian mampu mengubah keputusan.
Selain itu, perlu diingat bahawa pada pilihanraya sebelum ini terdapat kerusi-kerusi yang diserahkan kepada BN atas semangat Kerajaan Perpaduan. Dalam PRN kali ini, PH bertanding menggunakan kekuatan sendiri dan tentunya akan berusaha mendapatkan semula kerusi-kerusi tersebut.
Sekiranya PH berjaya mengekalkan majoriti kerusi sedia ada dan menambah beberapa kemenangan baharu, maka jumlah kerusi Umno berpotensi berkurangan dengan ketara. Jika keadaan itu berlaku, siapakah yang sebenarnya memperoleh keuntungan politik?
Jawapan saya mudah iaitu Pas.
Mengapa? Hujahnya semakin kecil jumlah kerusi Umno, semakin besar pergantungan Umno kepada Pas dan PN pada masa hadapan. Dengan kata lain, Pas tidak semestinya perlu menewaskan PH sepenuhnya untuk mencapai matlamat strategiknya. Memadai jika Umno menjadi semakin lemah sehingga tidak lagi mampu berdiri sebagai kuasa dominan dalam politik Melayu.
Lebih penting lagi, Pas juga perlu memikirkan masa depan politik mereka di negeri-negeri yang selama ini menjadi kubu kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sekiranya kerjasama dengan BN diteruskan pada masa hadapan, Pas mungkin terpaksa mengorbankan lebih banyak kerusi kepada Umno di negeri-negeri tersebut. Oleh itu, dari sudut strategi politik, adalah lebih menguntungkan bagi Pas jika Umno memasuki rundingan akan datang dalam keadaan lebih lemah.
Sebab itulah saya berpendapat bahawa kerjasama PN BN ini bukan sekadar soal persahabatan politik. Ia juga boleh dilihat sebagai satu percaturan strategik jangka panjang. Penyatuan Melayu dan Islam itu hanya sekadar retorik yang dijadikan modal untuk memikat hati para pengundi Melayu atas pagar sahaja.
Fikir secara rasional sebelum mengundi
Kepada penyokong tegar Umno dan BN di Negeri Sembilan, khususnya di kawasan yang ditandingi calon Pas atau PN, saya ingin mengajak saudara dan saudari berfikir secara rasional dan matang.
Sekiranya keputusan kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan terus menjadi formula pentadbiran negara selepas pilihan raya, maka mengundi calon Pakatan Harapan di kerusi-kerusi tersebut bukan sahaja membantu mengekalkan kestabilan kerajaan negeri, malah boleh mengelakkan kerusi berkenaan jatuh kepada Pas.
Ini bukan sekadar soal menang atau kalah dalam satu pilihanraya. Ini adalah soal memahami strategi politik jangka panjang yang sedang dimainkan oleh PN Pas ini.
Akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada strategi itu, atau memilih laluan yang mereka, percaya kepada masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang lebih baik.




Comments