top of page

Pas ambil alih teraju PN ketika gabungan pembangkang berkecamuk

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read

Pelantikan pemimpin kanan Pas sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) disifatkan bukan sebagai langkah pengukuhan sebaliknya mencerminkan keadaan sebenar gabungan itu yang sedang berdepan kemerosotan dan kecamukan dalaman.


Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata perubahan kepimpinan itu menimbulkan persoalan besar mengenai waktu pelaksanaannya, terutama ketika PN dikatakan berdepan pergolakan dalaman.


Menurut beliau sewaktu PN berada dalam keadaan lebih tersusun dan stabil, kepimpinan diserahkan kepada Muhyiddin Yassin namun apabila Bersatu berdepan konflik dalaman dan kedudukan gabungan semakin goyah, baharulah berlaku pertukaran pengerusi kepada Pas.


"Ini menimbulkan persoalan tentang ‘timing’ langkah tersebut. Kepimpinan yang lahir ketika organisasi kuat adalah mandat.


"Kepimpinan yang muncul ketika organisasi retak adalah mewarisi kerosakan," katanya dalam kenyataan.


PN baru-baru ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan susulan krisis politik di Perlis.


Mahfuz turut menggunakan analogi pasukan bola sepak bagi menggambarkan situasi berkenaan.


"Kalau pasukan bola sedang menang 3-0, semua orang berebut jadi kapten. Tapi bila kalah 0-3, siapa ambil lilitan kapten, dia bukan ambil kemenangan, dia ambil masalah," ujarnya.


Beliau berpandangan, PN kini bukan berada dalam fasa pengembangan, sebaliknya dalam fasa kecamukan apabila Bersatu didakwa berdepan perpecahan dan struktur gabungan tidak lagi kukuh.


Dalam pada itu, Mahfuz mempersoalkan keupayaan Pas mengurus krisis dalaman berdasarkan pengalaman di Perlis yang menurutnya menyaksikan Kerajaan Negeri yang dimenangi akhirnya hilang akibat konflik dalaman.


"Itu bukan kegagalan strategi pilihanraya. Itu adalah kegagalan kepimpinan mengurus perbezaan. Macam mana nak selamatkan PN seperti dihasratkan Presiden Pas sedangkan Perlis yang kecil gagal diselamatkan?" katanya.


Menurut beliau lagi, jumlah kerusi Parlimen bukan ukuran kekuatan sebenar sesebuah gabungan politik.


"Kekuatan politik diukur pada kestabilan dalaman, disiplin organisasi dan keupayaan mentadbir," katanya.


Mahfuz menegaskan, rakyat kini semakin matang dan tidak menilai siapa memegang jawatan, sebaliknya siapa benar-benar mampu menyatukan serta memimpin dalam keadaan sukar.


"Jika parti sendiri belum stabil, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa negara boleh ditadbir dengan lebih baik?


"Perubahan pengerusi ini bukan simbol kebangkitan PN. Ia lebih menyerupai usaha menyusun semula kepimpinan di atas struktur yang sedang mereput.


"Jawatan boleh bertukar tangan. Tetapi tanpa kestabilan dan kepercayaan, jawatan itu hanya sekadar gelaran, bukan kepimpinan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page