Pelaksanaan COSS komitmen kerajaan tangani ketirisan minyak masak
- Suara Keadilan

- 12 minutes ago
- 1 min read

Pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) membuktikan ketegasan kerajaan menutup sepenuhnya ruang ketirisan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata COSS menggabungkan kawalan dan penguatkuasaan menyeluruh, termasuk penggunaan eCOSS sebagai inisiatif pemantauan bersepadu sepanjang rantaian bekalan bekalan tersebut.
"Pelaksanaan COSS tidak bergantung kepada satu mekanisme semata-mata, sebaliknya disokong oleh ekosistem kawalan menyeluruh.
"(Pelaksanaan ini) merangkumi pendaftaran dan pelesenan pemain industri, perekodan transaksi secara digital, pengesanan pergerakan bekalan (traceability) serta pemantauan berterusan daripada peringkat pengilang, pembungkus dan pemborong sehingga ke peringkat peruncit," katanya dipetik.
Dr Fuziah berkata begitu ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu beliau turut menegaskan, pelaksanaan COSS bagi memastikan subsidi minyak masak dimanfaatkan oleh rakyat yang layak, melindungi kepentingan pengguna, dan mengawal kos sara hidup secara mampan.
Ia juga menutup ruang manipulasi dan kebocoran subsidi melalui pengesanan awal ketidakpatuhan dan tindakan penguatkuasaan yang pantas dan bersasar.
Pada sesi tersebut beliau turut memaklumkan, mulai 1 Mac depan, kementeriannya akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong, atau pihak dalam rantaian bekalan yang melanggar undang-undang.
Langkah yang bakal diambil termasuk pembatalan lesen, penyahaktifan profil peruncit dalam eCOSS, serta pendakwaan tanpa kompromi.
"Individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM5 juta," katanya.




Comments