Kes kecurian kabel di Batu Uban: ADUN gesa penduduk lebih berwaspada
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Satu kes kecurian kabel dilaporkan berlaku di kawasan Kompleks Belia dan Jalan Kampung, Batu Uban, semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kerana kenderaan pencuri cuba merempuh penduduk dalam usaha melarikan diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan (gambar) berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pengerusi MPKK Batu Uban dan telah memanjangkannya kepada pihak berkuasa.

"Saya menerima mesej daripada En. Rosman, Pengerusi MPKK Batu Uban, memaklumkan bahawa semalam berlaku kes kecurian kabel di kawasan Kompleks Belia dan Jalan Kampung, Batu Uban," katanya dalam muat naik di media sosial.
Mengenai usaha penduduk untuk menghentikan kecurian, Kumaresan berkata mereka perlu berhati hati sebelum bertindak.
"Difahamkan, suspek bertindak memandu secara melulu dan berbahaya dengan niat untuk melanggar penunggang motosikal yang cuba menghalang mereka daripada melarikan diri," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai jangan mengambil tindakan sendiri sekiranya boleh membahayakan keselamatan.
Tambah Kumaresan, pihak polis Daerah Timur Laut telahpun memberikan maklum balas dan memaklumkan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil.
"Dalam Sidang DUN yang lalu, saya juga telah membangkitkan isu kecurian kabel yang semakin kerap berlaku kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian harta awam, malah turut menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk," katanya lagi.
Beliau turut menyeru masyarakat agar segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.




Comments