Ibadah korban Maahad Tahfiz Al Hajj kukuhkan silaturahim komuniti
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Program ibadah korban anjuran Maahad Tahfiz Al Hajj, Kampung SC di Kuantan kelmarin berjaya mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan Islam itu dengan masyarakat setempat, khususnya di sekitar DUN Inderapura.
Pengerusi Maahad, Ustaz Benzin Dagok berkata, penganjuran ibadah korban saban tahun bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi menjadi medium penting dalam memperkukuh ikatan silaturahim antara pelajar, tenaga pengajar dan komuniti.
"Aktiviti korban setiap tahun ini bukan sekadar menunaikan syiar Islam, tetapi juga menjadi jambatan kasih antara pelajar, guru dan masyarakat setempat," katanya ketika menyempurnakan program berkenaan.

Majlis diserikan dengan kehadiran pimpinan KEADILAN termasuk Ketua Cabang Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi serta Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri yang turut menyertai ibadah korban bersama pelajar dan sukarelawan.
Fakhrul Anuar dalam ucapannya menyatakan keyakinan terhadap potensi maahad berkenaan sebagai pusat pendidikan tahfiz yang cemerlang di daerah itu.
"Maahad Tahfiz Al Hajj ini berpotensi menjadi pusat tahfiz yang berjaya melahirkan para huffaz terulung di daerah ini dan menjadi pusat pentarbiahan masyarakat sekitar. Sokongan berterusan akan diberikan bagi memastikan ia berkembang sebagai pusat sehenti untuk komuniti," ujarnya.
Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan dalam program tersebut, dengan agihan daging disalurkan kepada golongan asnaf dan keluarga memerlukan di Kampung SC serta enam kampung berhampiran iaitu Kampung Teluk Mahang, Kampung Batu 5, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Sungai Isap.
Menurut Ustaz Benzin, proses agihan dilakukan secara tersusun bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Program tahunan itu berlangsung dalam suasana penuh muhibah dengan semangat gotong-royong, laungan takbir serta kegembiraan para penerima yang terus menjadi simbol kekuatan hubungan antara institusi tahfiz dan masyarakat setempat.




Comments