Isu kuil, hina al Quran: Jangan benarkan provokasi, fitnah nyalakan api perpecahan
- Akmal Manaf

- Feb 27
- 2 min read

Dalam suasana negara yang berbilang kaum dan agama, setiap isu sensitif termasuk membabitkan rumah ibadat dan kitab suci perlu ditangani dengan penuh hikmah, berlandaskan undang-undang dan berpaksikan semangat perpaduan nasional.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, pihaknya memandang serius isu yang tular kebelakangan ini melibatkan kuil Hindu dan dakwaan penghinaan terhadap al-Quran yang kini hangat diperkatakan di platform media sosial.
Sehubungan itu, beliau menegaskan mesej utama PKORM agar semua pihak mengelakkan pergaduhan dan tidak membiarkan rakyat terkeliru dengan naratif yang tidak sahih.
"Kita tidak boleh membenarkan provokasi, fitnah atau maklumat yang tidak sahih menyalakan api perpecahan dalam masyarakat.
"Penyebaran berita yang belum dipastikan kebenarannya (kebelakangan ini) hanya akan mengeruhkan keadaan dan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh.
"Malaysia dibina atas asas hormat-menghormati antara agama dan kaum. Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mempertahankan keharmonian ini," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian, beliau menyeru semua pihak agar menghormati setiap agama dan rumah ibadat serta menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa tanpa dipengaruhi emosi.
Pada masa sama, Mustapa turut menekankan tentang kepentingan mengutamakan dialog dan saluran yang sah dalam menyelesaikan sebarang pertikaian, di samping menolak segala bentuk provokasi, hasutan dan fitnah.
"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam khususnya diseru untuk memperkukuhkan nilai sabar, menahan diri dan menunjukkan akhlak yang tinggi.
"Ramadaan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik jiwa agar lebih matang dalam menghadapi ujian.
"Kita tidak mahu rakyat dipengaruhi naratif yang mengelirukan sehingga menjejaskan keamanan negara. Perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya menjadi asas untuk saling memahami dan memperkukuh perpaduan.
"Kami kekal komited untuk menjadi suara sederhana yang mengajak kepada keamanan, keadilan dan keharmonian demi Malaysia yang aman dan bersatu," ujar beliau lagi.




Comments