Kerajaan sokong keperluan persenjataan AKPS - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 37 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan bersedia menyokong keperluan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan.
Langkah itu menurut Menteri Dalam Negeri bertujuan memastikan agensi itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata sebagai agensi baharu, AKPS mempunyai ruang untuk merangka gerak kerja yang selaras dengan keperluan semasa, khususnya dalam memperkukuh kawalan keselamatan di 122 pintu masuk negara.
"Jika ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan seluruh anggota AKPS, misalnya dengan penggunaa senjata atau kelengkapan lain, saya serahkan sepenuhnya kepada kepimpinan AKPS, iaitu Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menyusun atur.
"Peranan kami di kementerian, saya dan Ketua Setiausaha, adalah memberikan sokongan supaya agensi dapat menjalankan tugas dengan berkesan, sambil memastikan keselamatan anggota terjamin," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu ketika ditemui pemberita ditemui selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2026 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pelabuhan Klang semalam.
Terdahulu, seorang pakar jenayah dan kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, wajar untuk pegawai dan anggota AKPS dibekalkan senjata api bagi mempertahankan diri ketika berdepan ancaman jenayah rentas negara.
Saranan itu susulan insiden tembakan yang menyasarkan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir pada Rabu.
Menurut beliau, penugasan di sempadan darat seperti di Bukit Kayu Hitam mendedahkan anggota kepada jaringan jenayah rentas negara yang memiliki sumber kewangan besar dan akses kepada senjata api.




Comments