top of page

Parti Bukan Agama: Berbeza Politik Tanpa Mengorbankan Persaudaraan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 9 min read

Oleh: Dr Mohd Faizul Azmi


ULASAN: Saya berkesempatan mengikuti slot Analisis di TV AlHijrah yang dikendalikan oleh Amin Idris dengan tajuk “Parti Bukan Agama”. Perbincangan tersebut menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil; dan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.


Pada pandangan saya, tajuk ini mungkin kedengaran mudah. Semua orang tahu bahawa parti politik bukan agama. Namun, apa yang berlaku dalam kehidupan masyarakat terutama di media sosial menunjukkan bahawa perkara asas ini masih perlu dijelaskan.


Kita menyaksikan orang mempertikaikan iman dan syahadah saudara seagama hanya kerana berbeza politik. Ada yang memutuskan persaudaraan, saling menghina, menggunakan gelaran buruk, mendoakan keburukan, malah menentukan syurga dan neraka orang lain berdasarkan pilihan parti.


Apabila perkara sedemikian berlaku, ini menandakan bahawa sesetengah orang mungkin tidak menyebut parti sebagai agama, tetapi bertindak seolah-olah parti mereka mempunyai kedudukan tersebut.


Politik tidak terpisah dari Islam


Salah satu penjelasan awal dalam perbincangan itu ialah politik bukan perkara asing daripada Islam. Islam ialah agama yang menyeluruh dan memberikan panduan tentang kehidupan manusia, termasuk pemerintahan, kepimpinan, amanah serta pengurusan masyarakat.


Manusia akan tetap berpolitik kerana kehidupan bersama memerlukan peraturan, kepimpinan dan pengagihan tanggungjawab. Syariat tidak datang untuk menafikan fitrah tersebut. Sebaliknya, syariat membimbing politik supaya kuasa digunakan untuk menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan manusia.


Oleh itu, kita tidak seharusnya memisahkan politik daripada nilai agama. Namun, mengakui bahawa Islam membimbing politik tidak bererti kita boleh menyamakan Islam dengan mana-mana parti.


Islam ialah wahyu daripada Allah SWT . Parti politik pula ialah organisasi yang ditubuhkan dan diuruskan oleh manusia. Pemimpin parti boleh benar dan boleh tersilap. Manifesto boleh berubah, strategi boleh gagal, keputusan boleh dipinda dan organisasi boleh berpecah atau dibubarkan.


Sebuah parti boleh menyatakan bahawa ia memperjuangkan nilai Islam. Namun, parti tersebut tetap tidak boleh mendakwa dirinya sebagai penjelmaan Islam yang mutlak. Islam lebih besar daripada semua parti, gerakan, NGO dan pertubuhan manusia.


Politik ruang ijtihad luas


Perbincangan itu turut menjelaskan perbezaan antara perkara agama yang tetap dengan persoalan politik yang terbuka kepada ijtihad.

Dr Mohd Faizul Azmi
Dr Mohd Faizul Azmi

Dalam akidah, perkara seperti keesaan Allah SWT tidak berubah. Dalam ibadah khusus, solat Subuh kekal dua rakaat. Namun, Islam tidak menetapkan hanya satu kaedah pelantikan pemerintah yang mesti digunakan sepanjang zaman.


Cara pelantikan Abu Bakar berbeza daripada Umar. Pemilihan Uthman pula berbeza daripada kedua-duanya, manakala pelantikan Ali berlaku dalam suasana politik yang lain. Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa bentuk dan mekanisme pemerintahan mempunyai ruang ijtihad yang luas.


Islam menetapkan prinsip-prinsip asas dalam politik dan pemerintahan, iaitu menegakkan keadilan, menunaikan amanah, mengamalkan syura, menyebarkan rahmah dan ihsan, menolak segala bentuk kezaliman, memelihara kemaslahatan umum serta memastikan pemerintah bertanggungjawab kepada rakyat.


Prinsip tersebut tidak boleh dikorbankan. Namun, cara melaksanakannya boleh berubah mengikut zaman dan keadaan.


Masyarakat terdahulu tidak mempunyai Parlimen, pilihan raya moden, parti politik, kabinet atau jawatankuasa pilihan khas seperti hari ini. Kewujudan institusi tersebut boleh diterima selagi membantu mencapai keadilan dan maslahat.


Dalam perbincangan itu turut disebut konsep bahawa perkara yang tidak diperincikan oleh nas memberi ruang kepada manusia untuk berijtihad. Jika semua bentuk pemerintahan ditetapkan secara terperinci, manusia akan terikat kepada satu kaedah sahaja walaupun keadaan zaman telah berubah.


Namun, keluasan ijtihad tidak bermaksud politik bebas daripada batas agama. Manusia boleh berbeza tentang bentuk pentadbiran, tetapi tidak boleh berijtihad untuk menghalalkan kezaliman, rasuah, fitnah atau pecah amanah. Bentuk politik boleh berubah, tetapi nilai keadilan dan rahmah mesti dipertahankan.


Jangan sempitkan umat kepada satu jemaah


Antara bahagian penting dalam perbincangan ialah penjelasan tentang penggunaan hadis berkaitan jama‘at al-muslimin wa imamihim. Ada organisasi yang mentafsirkan ungkapan tersebut seolah-olah ia merujuk kepada kumpulan atau parti mereka sahaja. Daripada tafsiran itu, mereka mendakwa bahawa hanya jemaah mereka berada pada jalan yang benar, manakala sesiapa yang tidak menyertainya berada dalam kebatilan.


Pendekatan tersebut perlu diperbetulkan. “Jemaah Muslimin” tidak wajar disempitkan kepada satu pertubuhan politik. Umat Islam merangkumi seluruh orang Islam yang mengucapkan syahadah, bukan hanya ahli sebuah parti atau organisasi.


Keahlian parti tidak menentukan sama ada seseorang masih termasuk dalam umat Islam. Tidak menyertai parti tertentu juga bukan bukti seseorang menolak perjuangan agama. Demikian juga, seseorang tidak keluar daripada Islam hanya kerana memilih strategi politik atau calon yang berlainan.


Setiap parti boleh menawarkan pendekatan yang diyakininya lebih baik. Namun, tidak ada parti yang berhak berkata, “Hanya kami mewakili Islam dan sesiapa yang menolak kami bererti menolak Islam.”


Sebuah parti hanyalah salah satu wadah yang mungkin digunakan untuk mencapai kebaikan. Ia bukan satu-satunya jalan menuju keredaan Allah.


Persaudaraan tidak berakhir di peti undi


Firman Allah dalam Surah al-Hujurat bahawa “ orang beriman itu bersaudara” menjadi asas penting dalam perbincangan tersebut. Persaudaraan Islam dibina atas keimanan, bukannya keanggotaan parti.


Orang yang berbeza parti tetap saudara seagama. Dia mempunyai hak untuk memberikan pandangan, memilih calon, mengkritik kerajaan dan tidak bersetuju dengan kita. Pilihan politiknya tidak membatalkan syahadah dan tidak menghapuskan hak persaudaraannya.


Kita boleh berbeza dalam menilai parti atau pemimpin kerana setiap orang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan pertimbangan maslahat yang berlainan. Dua orang Muslim mungkin sama-sama mahu membanteras kemiskinan, tetapi tidak bersetuju tentang dasar ekonomi terbaik. Mereka mungkin sama-sama menolak rasuah, tetapi berbeza dalam memilih calon yang dianggap paling mampu melakukan pembaharuan.


Perbezaan seperti ini termasuk dalam ruang ijtihad, bukan pertikaian akidah. Oleh itu, ia tidak sepatutnya membawa kepada takfir, penghinaan atau pemutusan silaturahim.


Jika kita masih boleh makan bersama, berjiran, menghadiri kenduri dan menziarahi orang sakit sebelum musim pilihanraya, hubungan tersebut tidak seharusnya terputus hanya kerana kertas undi kita mempunyai tanda pada lambang yang berbeza.


Bahaya takfir, budaya melabel


Perbincangan tersebut turut menyentuh budaya melabel lawan sebagai kafir, fasik, munafik, jahiliah, dajal, bodoh dan pelbagai gelaran buruk. Kata-kata kesat pula semakin dianggap perkara biasa dalam ceramah dan media sosial.


Ini bukan cara politik yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ketegasan tidak memerlukan kekasaran, manakala perbezaan pandangan bukan lesen untuk menjatuhkan maruah orang lain.


Takfir ialah tuduhan yang sangat berat. Ia tidak boleh dibuat hanya kerana seseorang menyertai, menyokong atau mengundi parti yang berlainan. Syurga dan neraka bukan milik parti, dan manusia tidak berhak menentukan kedudukan akhirat seseorang berdasarkan pilihan politiknya.


Ekstremisme politik atau ghuluw bermula apabila seseorang menganggap hanya kelompoknya memiliki kebenaran, manakala semua pihak lain sesat atau tidak Islamik. Daripada pemikiran ini lahirlah sikap yang menghalalkan penghinaan, fitnah dan pemutusan persaudaraan atas nama perjuangan.


Hakikat bahawa parti sendiri tidak mengeluarkan pendirian rasmi mengkafirkan lawan belum mencukupi jika terdapat penyokong yang terus menyebarkan pemikiran tersebut. Pemimpin dan tokoh agama mempunyai tanggungjawab mendidik pengikut supaya tidak melampaui batas.


Adab berbeza pandangan


Islam tidak melarang kritikan. Pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang dan tokoh agama boleh ditegur. Namun, teguran mesti disampaikan dengan ilmu, bukti dan adab.


Dalam perbincangan itu disebut kepentingan adab al-ikhtilaf, iaitu etika ketika berbeza pandangan. Antara tuntutannya ialah menghormati orang lain, mendengar hujah dengan adil, menggunakan maklumat yang benar dan tidak menyebarkan berita palsu.


Mengkritik ulama bukan bermaksud menentang Islam. Ulama ialah pewaris nabi dari sudut ilmu, amal, akhlak dan tanggungjawab menyampaikan kebenaran. Namun, mereka bukan maksum. Pandangan seseorang ulama dalam perkara ijtihad boleh diterima atau ditolak dengan hujah yang berdisiplin.


Pada masa yang sama, gelaran ulama tidak boleh dimonopoli oleh satu kumpulan. Jika kita mengiktiraf tokoh berilmu dalam kelompok sendiri, kita juga perlu berlaku adil terhadap ilmuwan daripada kelompok lain. Kepakaran seseorang hendaklah dinilai berdasarkan ilmu, amal, adab dan sumbangannya, bukan semata-mata kad keahlian parti.


Dalam persoalan pentadbiran moden, pandangan pakar bidang lain juga perlu dihormati. Masalah ekonomi memerlukan ahli ekonomi, persoalan kesihatan memerlukan pakar perubatan dan isu perlembagaan memerlukan ilmuwan undang-undang. Fiqh siyasah yang matang perlu menggabungkan panduan syariah dengan pemahaman yang tepat terhadap realiti.


Kuasa tidak boleh dibeli dengan kehilangan akhlak


Dalam perbincangan tersebut panel juga mengingatkan tentang sifat rahmah Rasulullah SAW, termasuk ketika berhadapan dengan penolakan penduduk Taif. Walaupun Baginda disakiti, Baginda tidak memilih pembalasan. Sebaliknya, Baginda masih mengharapkan kebaikan daripada generasi mereka pada masa akan datang.


Pengajaran daripada peristiwa itu sangat besar untuk politik semasa. Jika Rasulullah SAW menunjukkan rahmah kepada mereka yang menolak dakwah Baginda, mengapa kita begitu mudah membenci saudara seagama yang sekadar berbeza undi?


Kita perlu bertanya: apakah gunanya memperoleh kuasa jika akhlak diketepikan? Allah bukan sahaja menilai sama ada kita menang atau kalah. Cara kita berusaha, bercakap dan melayan manusia juga akan dipersoalkan.


Kekalahan dalam pilihanraya bukan kegagalan agama. Kemenangan parti pula bukan bukti bahawa semua tindakannya direstui Allah. Kalah dengan amanah dan akhlak lebih mulia daripada menang melalui fitnah, pembohongan, rasuah atau penyalahgunaan agama.


Parti yang membawa nama Islam mesti lebih bersedia menerima teguran. Ia tidak boleh menggunakan matlamat agama untuk menghalalkan cara yang bertentangan dengan agama.


Baca kitab turath bersama realiti semasa


Satu lagi perkara penting ialah cara menggunakan karya politik Islam yang ditulis pada zaman dahulu. Kitab klasik merupakan khazanah ilmu yang bernilai dan memberikan asas pemikiran. Namun, karya tersebut lahir dalam realiti ekonomi, politik dan sosial yang berbeza.


Sebagai contoh, struktur hasil kerajaan pada zaman dahulu tidak sama dengan sistem fiskal negara moden. Kutipan yang dinamakan cukai dalam sesetengah konteks lama mungkin bersifat penindasan untuk memperkayakan penguasa. Dalam negara moden, hasil cukai digunakan untuk membina jalan, hospital, sekolah dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.


Oleh itu, hukum daripada konteks lama tidak boleh dipindahkan secara mekanikal tanpa memahami perubahan realiti. Kitab ulama perlu dihormati, tetapi tidak boleh dianggap seperti nas suci yang tidak boleh ditafsirkan berdasarkan keadaan baharu.


Keperluan semasa ialah membangunkan fiqh yang memahami institusi Malaysia—antaranya fiqh Parlimen, pentadbiran, Perlembagaan dan kehidupan masyarakat majmuk—dengan tujuan menegakkan keadilan, kasih sayang dan perpaduan.


Begitu juga, pandangan politik boleh berubah apabila realiti dan kefahaman berkembang. Perbincangan tentang penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan merupakan contoh bagaimana ijtihad perlu mengambil kira konteks, kemampuan dan pengalaman sebenar, bukan hanya membaca sesuatu nas secara terpisah.


Islam dalam kerangka Malaysia


Perbincangan itu juga menyentuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan pelaksanaannya dalam pentadbiran Malaysia. Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan, manakala negara telah membina pelbagai institusi berkaitan halal, kewangan Islam, pengurusan haji, pendidikan Islam, tahfiz, masjid dan Mahkamah Syariah.


Kewujudan semua institusi ini menunjukkan bahawa pelaksanaan nilai dan urusan Islam tidak dimonopoli oleh sebuah parti. Ia melibatkan Perlembagaan, institusi awam, Raja-Raja, penjawat awam, ulama, profesional dan masyarakat keseluruhannya.


Sudah tentu, kejayaan yang dicapai tidak bermaksud sistem kita sempurna. Institusi tetap perlu diperbaiki, salah urus perlu disiasat dan mereka yang mengkhianati amanah mesti dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang.


Prinsipnya ialah kita mengambil pengajaran, melakukan pembaikan dan tidak mengulangi kesilapan. Kecintaan terhadap institusi bukan alasan untuk menutup kelemahan, sebagaimana kritikan terhadap kelemahan bukan alasan untuk meruntuhkan kepercayaan terhadap keseluruhan institusi.


Malaysia juga merupakan negara yang dihuni oleh pelbagai kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian ini bukan halangan untuk menampilkan kemuliaan Islam. Sebaliknya, ia peluang untuk menunjukkan bahawa pemerintahan yang dibimbing Islam mampu berlaku adil, memelihara hak dan menyebarkan rahmah kepada semua.


Kepelbagaian parti dalam demokrasi


Kewujudan pelbagai parti tidak semestinya bererti umat telah berpecah daripada agama. Dalam sistem demokrasi, kepelbagaian parti menjadi saluran untuk menguruskan perbezaan secara aman.


Melalui pilihanraya, rakyat dapat menilai dasar, memilih pemimpin dan menukar kerajaan tanpa keganasan. Kerajaan mentadbir, manakala pembangkang mengawasi dan menawarkan pilihan alternatif.


Kesatuan tidak bermaksud semua orang mesti berada dalam satu parti. Kesatuan bermaksud semua pihak menghormati Perlembagaan, menerima keputusan pilihan raya yang sah, menolak ekstrem atau fanatik dan bekerjasama untuk kepentingan negara.


Kerajaan tidak seharusnya menganggap semua kritikan sebagai pengkhianatan. Pembangkang pula tidak patut menolak semua perkara yang dilakukan kerajaan semata-mata kerana mahu memperoleh keuntungan politik.


Jika dasar kerajaan baik, pembangkang wajar menyokongnya. Jika parti sendiri melakukan kesalahan, ahlinya perlu berani menegur. Kesetiaan kepada kebenaran dan negara mesti mengatasi kesetiaan membuta tuli kepada parti.


Perbezaan menjadi indah apabila diraikan dalam bingkai kesatuan. Ia hanya berubah menjadi perpecahan apabila disertai kezaliman, fitnah, kebencian, keganasan atau usaha menafikan hak orang lain.


Pengundi menilai, bukan taksub


Pengundi Muslim perlu menilai calon dan parti dengan matang. Nama, simbol dan slogan agama tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa sesebuah parti sentiasa benar.


Antara perkara yang patut dinilai ialah amanah dan integriti calon, kebolehannya mentadbir, rekod perkhidmatannya, komitmennya terhadap keadilan, kebersihannya daripada rasuah, penghormatannya terhadap undang-undang, kesediaannya menerima teguran, dasar yang menjaga kebajikan rakyat serta layanannya terhadap golongan yang tidak menyokongnya.


Dasar yang baik wajar diterima walaupun datang daripada parti lawan. Dasar yang zalim pula mesti ditolak walaupun diperkenalkan oleh parti sendiri.


Sikap ini bukan bererti seseorang tidak setia. Sebaliknya, itulah kesetiaan yang lebih tinggi—kesetiaan kepada kebenaran, amanah dan kemaslahatan rakyat.


Politik jaga agama, bukan agama sucikan parti


Sebagai penonton, saya melihat mesej terpenting daripada slot Analisis ini ialah keperluan membentuk masyarakat Islam yang wasati, berorientasikan maqasid, progresif dan berkemajuan. Masyarakat seperti ini teguh pada prinsip tetapi terbuka dalam perkara ijtihad. Ia mampu berbeza tanpa bermusuhan dan mengkritik tanpa menghina.


Kita boleh menyertai dan menyokong parti yang diyakini. Namun, kita tidak boleh menganggap parti itu suci daripada kesalahan. Kita boleh berkempen bersungguh-sungguh, tetapi tidak boleh menyebarkan fitnah. Kita boleh mengkritik lawan dengan tegas, tetapi tidak boleh menafikan iman, maruah dan haknya.


Jika menang, tadbirlah dengan adil termasuk terhadap mereka yang tidak mengundi kita. Jika kalah, terimalah dengan matang dan teruskan khidmat kepada masyarakat. Kekalahan bukan alasan untuk memutuskan persaudaraan, manakala kemenangan bukan lesen untuk berlaku sombong atau menindas.


Islam hendaklah digunakan untuk membimbing politik melalui keadilan, amanah, rahmah dan akhlak. Politik pula hendaklah menjadi jalan menjaga agama, kebajikan manusia dan keharmonian negara bukan alat menggunakan agama untuk kepentingan kelompok.


Parti ialah wasilah, bukan agama. Kebenaran lebih tinggi daripada parti. Persaudaraan lebih luas daripada kelompok. Islam pula jauh lebih besar daripada semua organisasi politik.


Dalam keghairahan kita berpolitik, jangan sampai parti dipertahankan tetapi akhlak ditinggalkan; kuasa diperoleh tetapi persaudaraan dihancurkan; nama Islam dilaungkan tetapi keadilan dan rahmah diketepikan.


Penulis merupakan Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Univeriti Kebangsaan Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page