top of page

Pandora Papers: Melayu Tipu Melayu



Oleh: Hassan Abdul Karim


Sekian lama mereka melaungkan slogan “demi bangsa, demi negara demi Orang Melayu”. Tetapi mereka ini munafik. Mereka mahu elak cukai sebenarnya. Mereka hendak kekayaan berlegar pada keluarga mereka sendiri sahaja. Bukan hendak tolong orang Melayu. Mereka buka akaun syarikat-syarikat mereka, bukan di Tanah Melayu tetapi di British Virgin Islands (BVI).


Mereka tuduh orang lain “tidak patriotik, subversif atau penderhaka”. Tetapi merekalah yang sebenarnya petualang kerana larikan wang dan modal secara haram ke syurga kewangan hitam tanpa cukai dan penuh rahsia di British Virgin Islands. Baru hari ini mulai terdedah oleh Pandora Papers.


Melayu hipokrit


Siapa mereka Melayu yang hipokrit ini? Rupa-rupanya mereka anak-anak bekas perdana menteri dari parti-parti politik Melayu dan Bumiputera yang eksklusif, sama ada Cap Kris, Cap Bunga Raya, Cap Pejuang bangsa.

Kasihan bangsaku Melayu, ditipu hidup-hidup. Aku yang Melayu inipun ditipu sama. Sekian lama aku ingatkan betullah pemimpin-pemimpin Melayu ini memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak kedudukan istimewa Orang Melayu.


Rupa-rupanya mereka ini ibarat “harapkan pegar; tetapi pegar makan padi.” Mereka gunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak istimewa Melayu itu untuk mereka mengaut keuntungan, kontrak, modal dengan pinjaman murah serta segala macam insentif, kuota, permit, lesen dan subsidi serta projek runding terus tanpa tender. Semuanya atas nama hak istimewa Melayu.


Tetapi mereka Melayu dari kumpulan dan keluarga elit berkuasa ini seperti “kacang lupakan kulit”. Mereka bertindak macam lanun melarikan duit dan modal ke luar negara, ke British Virgin Island sana. Mereka tidak melaburkan semula kekayaan mereka di Malaysia tercinta ini. Mereka ini betul-betul macam “si Tenggang” yang derhaka kepada bangsa.


Sehingga bulan Oktober 2021 ini, puak-puak mereka ini, di Parlimen di depan mataku seorang Melayu, tanpa malu-malu, mereka masih bercakap kononnya “demi Melayu! demi Melayu!” Hipokritnya mereka ini. Hari ini, aku Melayu yang tidak boleh lagi ditipu mereka.


Generasi baharu sudah celik


Sungguh malang dan sedih mengenangkan negaraku dan bangsaku Melayu. Sehingga Rancangan Malaysia ke-12 ini, kabilah-kabilah perkauman Melayu itu masih bercakap kononnya hendak naikkan peratusan ekuiti Bangsa Melayu. Konon! Kononnya “demi Keluarga Malaysia”. Konon! Siapa yang mereka hendak tipu? Orang-orang Melayu sekarang khususnya di kalangan anak-anak muda Melayu yang cerdik dan pandai, tidak termakan tipu pemimpin-pemimpin Melayu yang munafik dan hipokrit ini. Generasi Melayu sekarang sudah sedar. Sudah celik.


Macam mana hendak naikkan peratusan ekuiti Melayu jika kapitalis-kapitalis kroni Melayu ini yang dapat faedah ekonomi dan kekayaan dari dasar-dasar ekonomi membantu Melayu membawa keluar wang dan modal dari Tanah Melayu ini sebanyak RM1.8 trilion dari tahun 2004 hingga 2014 ke pusat kewangan gelap di luar pesisir pantai seperti British Virgin Islands?


Begitu banyak wang gelap untuk lari cukai di Malaysia di bawa oleh orang-orang kaya yang tidak patriotik seperti yang didedahkan oleh Pandora Papers sehingga Malaysia menduduki tempat kelima terburuk di dunia selepas China, Russia, Mexico dan India.


Begitu banyak wang dan modal negara ini mengalir keluar ke British Virgin Islands dan lain-lain pusat kewangan gelap di luar pesisir pantai sehinggakan Malaysia tidak ada wang dan hampir bangkrap. Mujurlah Malaysia masih ada Petronas. Untuk menangani Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat, maka negara terpaksa berhutang dan berhutang dan berhutang lagi sehingga paras hutang Kerajaan mencecah siling 65% Keluaran Dalam Negara Kasar.


Hutang kerajaan yang besar itu akan ditanggung oleh anak-anak generasi akan datang. Manakala anak-anak golongan elit negara ini termasuk anak-anak bekas tiga Perdana Menteri, dan sekitar 1500 orang lagi rakyat Malaysia yang ada akaun syarikat di British Virgin Islands boleh hidup senang lenang atas kesengsaraan rakyat negara ini.

_______________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

1 comment

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page