Palestin jadi agenda sejagat, Malaysia guna diplomasi berprinsip
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Insiden serangan rejim Zionis Israel terhadap kapal bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) minggu lalu membuktikan perjuangan kemanusiaan untuk Palestin kini menjadi agenda sejagat, dengan Malaysia memainkan peranan penting melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan berkesan.
Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu (gambar) berkata, insiden itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan dunia, tetapi turut menggerakkan gelombang kecaman antarabangsa terhadap Israel sekali gus memperkukuh solidariti global dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
"Fakta menunjukkan bahawa dalam tempoh kurang daripada 48 jam selepas serangan Zionis terhadap kapal Sumud Flotilla, semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan telah dibebaskan dengan selamat walau tanpa hubungan rasmi dengan Israel, tanpa tekanan ketenteraan dan tanpa retorik berlebihan.
"Ini hasil kebijaksanaan dan ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Wisma Putra," katanya kepada Suara Keadilan
Beliau menegaskan bahawa keberhasilan pembebasan pantas itu adalah bukti nyata keberkesanan diplomasi Madani, berbanding pendekatan provokatif dan emosional yang sering dimainkan oleh pembangkang.
"PN mengambil jalan bertegang leher dan provokasi, seolah-olah emosi lebih utama daripada strategi.
"Tapi kerajaan mengambil pendekatan yang matang, menggunakan saluran diplomasi tiga penjuru melalui Vietnam, Turkiye dan Jordan bagi memastikan keselamatan rakyat kita.
"Ketika PN menyalakan api politik, kerajaan memilih untuk memadamkan api konflik dan menyalakan obor kemanusiaan," ujarnya.
Berkenaan gesaan pembangkang untuk memutuskan hubungan dengan negara sekutu Israel, lahiratul berkata, banyak rakyat Malaysia tersentuh dengan kekejaman Zionis, namun dalam isu sebesar ini, emosi mesti digandingkan dengan hikmah.
"Rakyat Malaysia mempunyai peranan besar dalam memastikan suara Palestin terus hidup di peringkat global. Pertama, teruskan memberi sokongan moral dan material melalui sumbangan sah kepada misi kemanusiaan yang diiktiraf.
"Kedua, sebarkan kesedaran dan pendidikan tentang sejarah penjajahan Zionis agar generasi muda memahami konteks sebenar perjuangan ini.
"Ketiga, rakyat perlu menyokong dasar luar Malaysia yang konsisten dan bebas daripada pengaruh kuasa besar. Diplomasi Malaysia telah lama berpaksikan prinsip iaitu menentang penindasan, menolak kezaliman, dan memperjuangkan hak asasi manusia sejagat.
"Dengan sokongan rakyat, dasar ini akan terus kukuh dan dihormati di pentas antarabangsa," ujarnya lanjut.
Tambah beliau, dalam era media sosial, setiap perkongsian, tulisan, atau video yang membela Palestin adalah bentuk jihad maklumat.
"Suara rakyat Malaysia yang bersatu akan memberi gema kuat di peringkat dunia bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan kezaliman," kata Lahirul lagi.









Comments