Pakej RM131juta: Selangor siap sedia hadapi impak krisis Asia Barat
- Akmal Manaf

- 21 minutes ago
- 2 min read

Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar menyifatkan pengumuman pakej RM131 juta oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai langkah tegas dan tepat pada masanya dalam melindungi rakyat negeri itu daripada tekanan kos sara hidup susulan krisis tenaga global.
Beliau berkata, pakej tersebut juga mencerminkan gabungan dasar fiskal kontra-kitaran yang matang dan perlindungan sosial yang bersasar.
Katanya, sejak bermulanya konflik Iran, rakyat Selangor saban hari bangun dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kos sara hidup dan kelangsungan sumber rezeki mereka.
"Kebimbangan ini berpunca daripada pengurusan hubungan antarabangsa yang tidak menentu oleh kuasa-kuasa besar, yang akhirnya mencetuskan kejutan luaran besar terhadap rantaian bekalan global.

"Sekatan berterusan di Selat Hormuz menjadi gangguan utama, menyekat aliran bahan api dan komoditi penting. Keputusan yang diambil secara sedar oleh Kerajaan Negeri pada saat genting ini memastikan rakyat dan perniagaan bukan sekadar bertahan, malah mampu terus hidup dalam tempoh ketidaktentuan luaran ini.
"Pendekatan proaktif ini mencerminkan peralihan ke arah autonomi strategik, dengan pengiktirafan bahawa apabila aturan global gagal melindungi rakan-rakannya, negeri perlu bertindak secara berani dan berdaulat untuk melindungi kepentingan sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Sangetha menyifatkan, peruntukan proaktif sebanyak RM131 juta oleh Kerajaan Selangor itu merupakan penstabil fiskal, yang direka untuk mengelakkan lonjakan harga tempatan sambil mengekalkan kecairan dalam kalangan isi rumah yang paling terkesan.
Dari perspektif monetari antarabangsa ujarnya, Selangor sedang berdepan kejutan dari sudut penawaran yang berpotensi mencetuskan inflasi tolakan kos dalam sektor perindustrian dan runcit.
"Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini bermula Jun, Kerajaan Negeri secara efektif mengurangkan kesan kelewatan daripada gangguan rantaian bekalan global.
"Sebagai pendukung keadilan sosial, Wanita KEADILAN juga menekankan fokus pakej ini terhadap unit isi rumah.
"Krisis ekonomi memberi kesan yang tidak seimbang kepada wanita dan kanak-kanak, dan kemajuan kesaksamaan gender adalah asas kepada pembinaan komuniti yang lebih makmur," katanya lagi.
Dalam pada itu, Sangetha yang juga Ketua Latihan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor turut memuji insiatif lain diperkenalkan Kerajaan Negeri iaitu Program Sarapan Percuma bernilai RM9.6 juta di 873 sekolah yang merupakan pelaburan penting dalam modal insan.
Katanya, Baucar Kita Selangor berjumlah RM100 sebulan untuk 50,000 penerima dan jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) sebagai persediaan kepada penampan kritikal.
"Inisiatif ini memberi kuasa secara langsung kepada ibu dan ketua isi rumah wanita untuk mengekalkan standard pemakanan walaupun kos makanan meningkat.
"Pakej ini bukan sekadar subsidi, tetapi satu kerangka daya tahan yang melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan seperti subsidi BUDI95 dan Budi Diesel, sambil memastikan Selangor kekal sebagai enjin proaktif ekonomi Malaysia.
"Reka bentuk dasar ini merupakan respons yang penuh empati serta berasaskan ketelitian ekonomi, bagi memastikan tiada keluarga khususnya wanita dan kanak-kanak dibiarkan menghadapi cabaran ini sendirian," ujarnya lagi.




Comments