Label pemimpin Pusat "bebal", Hj Hadi tutup kelemahan sendiri
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Tindakan Presiden Pas, Hjl Hadi Awang melabel pemimpin kerajaan Pusat sebagai “bebal” dan “bangang” sebenarnya satu tindakan untuk menutup kelemahan pentadbiran negeri-negeri di bawah parti pembangkang.
Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata tindakan Ahli Parlimen Marang itu menyerang pihak lain tidak mencerminkan keberanian, sebaliknya hanya helah politik untuk mengalihkan perhatian rakyat.
"...itu bukan keberanian. (sebaliknya) Itu hipokrasi dipersembahkan sebagai fakta. Orang yang gagal cermin diri tak layak mengutuk orang lain.
"Dia bercakap seolah-olah dirinya bersih daripada kegagalan. Realitinya, negeri-negeri SG4 yang sering dijaja sebagai contoh itu masih bergelut dengan isu asas yang tak pernah selesai," kata beliau dalam hantaran di media sosial.
Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO mempersoalkan prestasi negeri-negeri pembangkang sama ada mereka sudah mencapai standard seperti disebut Nabi Yusuf sebagaimana dipetik Abdul Hadi sebelum ini.
Beliau mendakwa di Kelantan, masalah bekalan air masih berlarutan sejak puluhan tahun lalu, manakala di Terengganu peluang pekerjaan berkualiti masih terhad walaupun negeri itu kaya dengan hasil minyak.
Lokman turut mendakwa Kedah masih berdepan isu bekalan air dan kelemahan pengurusan, selain prestasi pelaburan yang ketinggalan manakala Perlis pula disifatkan mempunyai prestasi ekonomi hambar.
Menurutnya, semua kelemahan itu cuba ditutup dengan naratif bahawa kerajaan Pusat gagal.
"Ini bukan hujah berfakta, ini taktik lama untuk alihkan perhatian daripada kegagalan sendiri," katanya.
Lokman berkata Hj Hadi turut memutarbelitkan isu harga diesel dengan memainkan sentimen tanpa data kukuh.
Sedangkan beliau berkata langkah penyasaran subsidi bertujuan mengurangkan ketirisan serta membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
"Lebih memalukan, beliau berlindung di sebalik imej ulama untuk mengelak kritikan.
"Agama dijadikan perisai politik. Cukup-cukuplah. Rakyat majoriti bukan bodoh untuk terus diperdaya dengan retorik kosong seperti ini," ujarnya.
Lokman mendakwa Pas sebenarnya tidak mempunyai kemampuan menyaingi kerajaan melalui dasar, sebaliknya hanya bergantung kepada propaganda politik.
"Hadi bercakap seolah-olah dialah terpaling suci berdiri di atas bukit moral yang paling tinggi," ujarnya sambil menyatakan rakyat tidak perlukan kuliah agama dalam bentuk sindiran.
Sebaliknya beliau menegaskan bahawa rakyat memerlukan kerajaan yang mampu membantu dan memberikan penyelesaian.
"Dalam keadaan rakyat sedang terhimpit, yang mereka perlukan adalah kerajaan yang mampu membantu mereka, bukan pembangkang yang hanya pandai buat cerita," ujarnya.
"Rakyat perlukan penyelesaian. Itu Pas tak mampu buat. Hanya pandai label, fitnah dan menipu. Tak ada solusi. Hanya retorik. Tak ada hasil."




Comments