Malaysia tidak jual minyak, utamakan keperluan domestik - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak menjual minyak kepada negara lain secara sewenang-wenang, sebaliknya memberikan keutamaan memenuhi keperluan bekalan tenaga untuk rakyat tempatan terlebih dahulu.
Perdana Menteri berkata perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese semalam melibatkan perihal keperluan sumber perdagangan dua hala dan bukannya penjualan minyak seperti ditohmah pihak tertentu.
"Sebenarnya kita tidak jual minyak. Kita kata kita perlu daripada dia, ini kadang-kadang kita kena faham. Kita perlu (bahan baja) fosfat daripada dia (Australia), dia pula perlu urea daripada kita," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada masa ini kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk menjual bekalan diesel kepada pihak luar memandangkan bekalan sedia ada perlu diutamakan bagi memenuhi keperluan domestik.
"Ada minyak, kita kata kita boleh pertimbang sekiranya ada lebihan. Sekarang belum. Tetapi tohmahan itu di bawah lain. Jadi saya tidak fikir wajarlah begini rupa," katanya.
Semalam, Malaysia dan Australia menegaskan komitmen bersama untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global.
Anwar dan rakan sejawatnya Albanese yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu menekankan kepentingan aliran perdagangan terbuka dalam senario ketidaktentuan global bagi memperkukuh ekonomi kedua-dua negara.




Comments