top of page

PKORM lancar Modul Tarbiyah Reformis, perkukuh perjuangan reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Datuk Mustaffa (dua dari kiri) meluncurkan Modul Tarbiyah Reformis di majlis Jamuan Hari Raya PKORM
Datuk Mustaffa (dua dari kiri) meluncurkan Modul Tarbiyah Reformis di majlis Jamuan Hari Raya PKORM

Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) melancarkan Modul Tarbiyah Reformis (MTR) sebagai usaha memperkukuh kefahaman serta pembinaan jati diri dalam kalangan aktivis reformasi selepas lebih dua dekad perjuangan.


Pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa berkata modul berkenaan dibangunkan bagi mengisi keperluan latihan yang lebih tersusun untuk golongan reformis yang selama ini berjuang dalam pelbagai latar belakang.


"Selama 27 tahun kita melalui perjuangan ini, ada yang datang daripada ABIM, JIM, IKRAM dan pelbagai NGO termasuk Pas. Mereka ini ada modul sendiri (dalam mengukuhkan semangat perjuangan).


"Namun sebahagian besar reformis adalah 'hero jalanan'. Yang mereka tahu Mahathir itu jahat, lawan. Tiap minggu kita turun di jalan raya, lawan FRU, tak kira siapa. Itu pada fikiran kita pada 1998," katanya dalam majlis Jamuan Hari Raya PKORM, malam tadi.


Menurut beliau, pengalaman gerakan Reformasi yang banyak tertumpu kepada aksi jalanan sebelum ini memerlukan pendekatan baharu yang lebih sistematik dalam membina kefahaman dan kepimpinan terutama kepada generasi penerus Reformasi.

Mustapa Mansor menerangkan berkenaan MTR
Mustapa Mansor menerangkan berkenaan MTR

"Dahulu kita turun ke jalan setiap minggu, berdepan FRU dan menentang apa yang kita anggap kezaliman. Itu realiti pemikiran kita waktu itu," ujarnya.


Oleh itu, tegas Mustapa, MTR tersebut disusun menggabungkan pendekatan terbaik daripada pelbagai sumber antarabangsa termasuk pengalaman gerakan di Indonesia dan inspirasi daripada perjuangan di Timur Tengah, namun disesuaikan dengan konteks tempatan bagi menalirkan reformis yang lebih berilmu dan bersiasah tinggi pada masa depan.


"Jadi modul tarbiyah ini saya gabungkan modul terbaik dari Indonesia, Hamas (Palestin), tetapi kita tetap gunakan pendekatan Malaysia," katanya.


Dalam pada itu, Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub yang diberi amanah meluncurkan modul berkenaan berkata, pengalaman luas beliau dalam bidang latihan kepimpinan akan dimanfaatkan bagi memperkasa pelaksanaan modul berkenaan bagi mencapai matlamat yang digariskan.


"Saya di UIA selama lima tahun sebagai Ketua Jabatan Kepimpinan, melatih kira-kira 10,000 pelajar dari lebih 100 negara. Pengalaman dalam konteks tarbiyah ini agak luas (dan boleh membantu menjayakan MTR)," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Rapat Rakyat Malaysia, salah satu NGO pro reformis.


Mustaffa berharap MTR berkenaan akan menjadi produk reformis dari generasi hari ini untuk generasi masa hadapan yang berjuang meneruskan agenda reformasi.


"Saya meluncurkan Modul Tarbiyah Reformis ‘Membina Kader Berprinsip, Berlimu dan Berjuang’ yang disusun oleh Mustapa Mansor sebagai satu usaha memperkasa gerakan reformasi secara lebih tersusun," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page