top of page

Cabaran berkuasa uji ketahanan KEADILAN, kembali kepada perjuangan asal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 17
  • 2 min read

Cabaran memegang kuasa di peringkat Persekutuan menjadi ujian terbesar terhadap ketahanan dan keutuhan KEADILAN.


Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abang Zulkifli Abang Engkeh (gambar), anggota parti seharusnya mengenang perjuangan pahit getir parti sejak 1998 pada ulang tahun ke 27 ini bagi mengekalkan jati diri.


Beliau mengimbau hal itu usai Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Batang Lupar minggu lalu.


"Sejarah perjalanan parti sejak 27 tahun, kita dapati telah banyak berubah. Kemajuan demi kemajuan telah dikecapi. Namun tidak kurang juga cabaran dan kelemahan yang di hadapi," kata Ketua Cabang Batang Lupar itu dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, kecekalan dan ketabahan anggota parti sejak era awal Reformasi memainkan peranan penting dalam membina kekuatan KEADILAN, khususnya ketika berdepan kekangan sumber dan dominasi parti lawan.


"Cabaran permulaan ialah bagaimana hendak mempengaruhi rakyat mempercayai perjuangan kita dan dalam keadaan yang serba kekurangan, bagaimana kita hendak menggerak kan parti ini terutama sekali di Sarawak.


"Untuk mencapai cabang berdaftar kepada genap 31 cabang bukan tugas yang mudah. Menubuh sayap Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN menghadapi cabaran yang tidak kurang sukarnya," imbau Abang Zulkifli yang merupakan antara anggota berjuang menghidupkan KEADILAN di Sarawak sejak dua dekad lalu.


Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata perubahan landskap selepas parti berada dalam kerajaan membawa cabaran yang berbeza, termasuk peningkatan persaingan dalaman dan kecenderungan merebut kedudukan.


"Apabila berkuasa, pola pemikiran berubah. Dahulu kita berkorban apa sahaja, kini semakin ramai yang berani ke hadapan tetapi cabaran berkuasa turut membuka ruang kepada perebutan jawatan


"Cabaran berkuasa ini menyebabkan ramai yang berduyun mencari kedudukkan dalam parti," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa situasi itu boleh menghakis nilai perjuangan sekiranya tidak ditangani dengan baik.


Katanya, terdapat juga kecenderungan oportunis dan hipokrit dalam kalangan politikus yang mengejar kuasa dan kepentingan peribadi, sedangkan perjuangan sebenar adalah untuk rakyat dan negara.


Dalam masa sama, Abang Zulkifli menegaskan bahawa anggota parti dan rakyat kini lebih peka dalam menilai perkembangan politik, terutama dalam era digital yang sangat sukar untuk menyembunyikan masalah dalaman parti.


"Anggota parti dan rakyat sedang memerhati. Mereka tidak buta dan tuli, sebaliknya menilai setiap tindakan dan tingkah laku kita


"Kalau zaman reformasi kita berarak bersimpul lengan, menentang sergahan para penguasa yang kita katakan zalim. Apabila zaman kemenangan dan kegemilangan di Selangor, simpulan lengan itu sudah mula longgar hari demi hari," tegurnya.


Pasca pemilihan KEADILAN 2025 pula, kata Abang Zulkifli, terdapat anggota yang reda menerima kekalahan tetapi ada juga yang kalah dan kecewa lalu mencari alasan, membina naratif serta fitnah memburukkan parti dan pimpinan.


Hal itu, katanya, jangan sampai mengulang sejarah parti dominan politik negara seperti UMNO yang mengalamai zaman kemerosotan angkara 'kekuasaan'.


"Kita tidak perlu merujuk sejarah peradaban yang terlalu jauh. Cukup kita renung apa yang berlaku kepada UMNO. 60 tahun dipuncak kuasa, rarti UMNO roboh angkara cabaran cabaran berkuasa," tegasnya.


Bagaimanapun Abang Zulkifli yakin bahawa Presiden KEADILAN mengetahui apa yang berlaku dalam parti. Namun katanya, presiden tidak akan mampu menangani semua masalah dalaman parti tanpa sokongan dan dokongan anggota.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh anggota untuk terus mengekalkan ketaatan, berpegang kepada etika organisasi serta mengamalkan kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan.


Abang Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada cabang yang telah selesai bermesyuarat serta menggesa yang lain agar terus memperkukuh organisasi demi kelangsungan perjuangan parti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page