Pakej RM131 juta: Selangor negeri paling siap sedia bela kebajikan rakyat
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta diumumkan Kerajaan Negeri disifatkan sebagai langkah proaktif dan strategik dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negeri di tengah krisis bekalan tenaga global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) berkata inisiatif yang diumumkan dalam pakej tersebut mampu membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.
Inisiatif tersebut antaranya Jelajah Ehsan Rahmah, Gudang Makanan Selangor, Baucar Kita Selangor, subsidi pengangkutan awam, bantuan sarapan percuma serta sokongan kepada sektor pertanian.
"Pakej ini merupakan satu langkah proaktif dan strategik dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negeri khususnya dalam mendepani cabaran semasa..." katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya golongan B40, petani, nelayan dan usahawan kecil.
Jelasnya langkah itu dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan Sentosa serta merangsang aktiviti ekonomi di peringkat komuniti setempat.
"Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi," katanya.
Gunaraj berkata pihaknya akan membantu menyalurkan maklumat berhubung pelaksanaan pakej berkenaan yang dijadual bermula Jun ini supaya manfaatnya dapat dinikmati kumpulan sasar.
"Usaha berterusan akan digerakkan agar tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima manfaat yang telah disediakan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.



Comments