Pakej ransangan ekonomi legakan rakyat hadapi konflik Asia Barat - AMK Selangor
- Azuan Ab Rahman

- Apr 18
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyambut baik pengumuman Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohammad Haziq Husni (gambar) berkata, pengumuman tersebut merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam mendepani cabaran kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
"Pakej diumumkan tidak hanya memberi kelegaan kepada rakyat Selangor, malah bakal memberi kesan positif jangka panjang terhadap kesejahteraan sosial dan ekonomi negeri.
"AMK Selangor menyokong penuh pelaksanaan pakej ini dan berharap agar setiap inisiatif dilaksanakan secara telus, cekap serta mencapai kumpulan sasaran dengan berkesan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan pake bernilai RM131 juta sebagai langkah membantu rakyat dan industri menghadapi kesan krisis yang sedang melanda global. Pakej merangkumi inisiatif memperkukuh jaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Sementara itu, Mohammad Haziq berkata, antara pakej yang amat signifikan adalah Subsidi Tambang Pengangkutan Awam berjumlah RM5.4 juta yang dijangka memanfaatkan pengguna pengangkutan awam.
Pemberian subsidi RM30 sebulan untuk tempoh enam bulan itu akan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api, sekaligus membantu menangani kesesakan jalan raya
"Inisiatif ini turut menggalakkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat.
"Selain itu, pelaksanaan Bantuan Sarapan Percuma Sekolah kepada 873 buah sekolah dengan peruntukan RM9.6 juta juga satu inisiatif yang amat bertepatan. Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa, malah memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus terpelihara," tambahnya.




Comments