top of page

Pakej Ekonomi Selangor: 14,000 pesawah, petani, nelayan terima bantuan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Lebih 14,000 pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur di seluruh Selangor bakal menerima pelbagai bentuk bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bernilai RM131 juta yang secara rasmi dilancarkan semalam.


Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim (gambar) berkata, bantuan merangkumi sumbangan tunai kepada pesawah, bantuan baja kepada petani, subsidi bahan api kepada nelayan serta bantuan makanan ternakan kepada penternak dan pengusaha akuakultur.


Bantuan tersebut bertujuan membantu pemain industri menangani peningkatan kos operasi, memastikan kesinambungan pengeluaran makanan serta memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri.


"Ini merupakan inisiatif pertama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor yang dilancarkan secara rasmi. Kebanyakan inisiatif lain dijangka mula dilaksanakan pada penghujung bulan ini.


"Bagi nelayan, kita menyediakan tambahan RM300 sebulan selama enam bulan menerusi subsidi petrol dan diesel. Bagi pesawah pula, kita menyalurkan bantuan tunai RM500 bagi setiap hektar," katanya dipetik.


Terdahulu beliau hadir ke majlis pelancaran inisiatif tersebut di Sabak Bernam yang turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.


Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Fasa Pertama dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 16 April lalu bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.


Di bawah pakej tersebut, kerajaan negeri antaranya akan mengagihkan baucar Kita Selangor bernilai RM100 kepada 50,000 isi rumah selama enam bulan, selain menyediakan makanan percuma kepada pelajar di 873 sekolah seluruh Selangor bermula Ogos ini.


Sementara itu menurut Izham, menerusi pakej tersebut, kerajaan negeri turut menambah peruntukan Program Jualan Ehsan Rahmah sebanyak RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu RM10 juta tahun ini.


Inisiatif Gudang Makanan Selangor turut diperkukuh menerusi peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok simpanan makanan asas seperti beras, ayam, ikan, daging lembu dan minyak masak untuk menjamin stok bekalan rakyat negeri itu.

1 Comment


top game
top game
a day ago

I found eggy car through a gaming forum recommendation and ended up playing much longer than expected. Unlocking new vehicles keeps the gameplay interesting.


Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page