top of page

Pahit getir perjuangan Reformasi dua dekad



Oleh: Mustaffa Kamil Ayub


Era reformasi Malaysia telahpun memasuki dekad ketiganya setelah dua dekad berlalu dengan penuh warna warninya. Dekad pertama (1998-2008) meletakkan asas-asas penting perjuangan reformasi, manakala dekad kedua (2008-2018) memulai lakaran terjemahan perjuangan Reformasi melalui pelbagai ruang yang tercipta terutamanya melalui Kerajaan Negeri. Dekad ketiga bermula di tahun 2018 meluaskan lagi medan implimentasi Reformasi di pentas Kerajaan Persekutuan walaupun ditandai dengan pelbagai cabaran kemudiannya.


Sesungguhnya dalam sepanjang perjalanan Reformasi ini, sosok Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak terpenting yang mewarnainya. Ini didukung kuat oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Nurul Izzah Anwar. Pelbagai kalangan dengan kepelbagaian latarbelakang pengalamannya, kemudiannya melengkapkan perjuangan reformasi sebagai suatu gerakan massa yang mengukir sejarah baharu Malaysia.


Pertimbangan pahit getir


Secara peribadi, penulis selaku insan yang terlibat dengan perjuangan sejak di bangku sekolah lagi, juga terhimbau dengan gerakan reformasi ini dengan melepaskan jawatan selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin di tahun 1998. Pertimbangan ini sesungguhnya amat menguji antara kerjaya politik atau perjuangan. Dengan pertimbangan yang berasaskan kepada asas-asas perjuangan yang tertanam dalam diri, keputusan dibuat dengan iltizam bersama gerakan Reformasi.


Perjuangan Reformasi yang bermula 1998 ini, diteruskan lagi dengan platfom utama yang mewadahinya, Parti Keadilan Nasional (keADILan) yang dilancarkan pada 4 April 1999. Sejak dari awal perjuangan keADILan, penulis telah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Pemuda keADILan Malaysia dan kemudiannya Pemangku Ketua Pemuda. Dengan pelbagai pengalaman menang dan kalah dalam pemilihan parti, memainkan peranan kemudiannya selaku Setiausaha Agung keADILan kemudiannya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Naib Presiden KEADILAN mengendalikan urusan pentadbiran parti, latihan, hubungan antarabangsa, integrasi nasional dan strategi.


Sudah pasti pengalaman-pengalaman serta rangkaian perjuangan sejak alam persekolahan selaku Ketua Pengawas di SKKG dan SMSAH, Presiden Persatuan Mahasiswa UKM, Presiden PKPIM, Pimpinan Pusat ABIM, Presiden Persekutuan Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), Naib Presiden MBM, Presiden Majlis Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), keterlibatan dalam International Islamic Federation of Student's Organisation (IIFSO), World Assembly of Muslim Youth (WAMY), Asian Youth Council (AYC) dan World Assembly of Youth (WAY) dapat dimanfaatkan dalam kesinambungan perjuangan.


Perjuangan hebat reformis


Sepanjang dua dekad lalu, pelbagai momen pahit dan manis sama-sama kita lalui. Gas pemedih mata, air gatal, dipukul FRU dan seumpamanya dirasai oleh majoriti para reformis. Malahan ada yang dilokap, disiksa, dipenjara dan diISAkan. Semua ini tidak melemahkan semangat para reformis, malahan mengobarkan lagi semangat juang dan menguji daya tahan para reformis.


Pengalaman dua dekad ini, tentunya memperkayakan khazanah kematangan perjuangan. Sama ada dipenjara atau tidak, itu semuanya terakam dalam sejarah perjuangan para anbia dan mursalin. Nabi Yusof a.s. dipenjarakan dalam perjuangannya, manakala Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah dipenjarakan. Namun Nabi Muhammad s.a.w. terlibat dalam peperangan mempertahankan keadilan, dikepung dan serba macam tribulasi lainnya. Kejayaan besar perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. adalah lantaran pertolongan Allah s.w.t., kesetiaan sahabat-sahabat seperjuangan, isteri-isteri yang berkorban serta anak-anak yang membantu.


Menyorot kembali perjuangan para reformis, sudah pasti ikatan yang mempersatukan adalah idealisme perjuangannya, semangat silaturrahim yang disemai, perjuangan membela kebenaran dan keadilan serta jiwa membela rakyat yang menebal di kalangan para reformis. Deklarasi Permatang Pauh (1998) sesungguhnya memberikan landasan prinsip dan kerangka utama Agenda Reformasi sama ada penghormatan insaniah, keadilan untuk semua, mendaulatkan kuasa melalui demokrasi, keadilan ekonomi, membenteras rasuah dan salahguna kuasa, jatidiri budaya dan globalisasi manusiawi. Hal ini juga dipertegaskan dalam Al Quran, tidaklah kami mahu melainkan bagi melakukan islah sekuat daya kami.


Dekad penuh pancaroba


Perjuangan reformasi dekad pertama, umumnya para reformis KEADILAN berjuang sepenuhnya tanpa kewujudan kerajaan (1998 - 2008) kecuali di Kelantan dan Terengganu. Manakala dalam dekad kedua (2008 - 2018) para reformis berjuang bersama dengan kewujudan Kerajaan Negeri Selangor serta beberapa yang lain. Kemudiannya, di permulaan dekad ketiga, 2018, para pejuang reformis mendapat landasan baharu Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.


Ketiga-tiga fasa atau dekad ini, memberikan cabaran dan situasi yang berbeza. Demikian juga dengan pendekatannya. Dekad pertama, kekuatan para pejuang diuji dengan tekanan regim pemerintahan waktu itu. Manakala dekad kedua mulai diuji dengan beberapa kemudahan dan kemewahan dalam kerajaan negeri. Apatah lagi kemudiannya, di awal dekad ketiga, ujian ini meningkat dengan kemenangan membentuk Kerajaan Persekutuan. Juga pastinya ada perbezaan asas penyertaan perjuangan individu-individu di dekad pertama, kedua dan ketiga.

Pendekatan para reformis juga berubah dengan perubahan suasana. Di dekad pertama ditandai dengan banyaknya demonstrasi aman menyatakan bantahan atau sokongan, ceramah-ceramah politik dengan kehadiran puluhan ribu, serta edaran risalah-risalah penerangan. Ia kemudiannya secara beransur-ansur bertukar kepada suara di Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan pelbagai institusi kerajaan serta perlaksanaan program-program rakyat. Reformasi mengambil pendekatan yang lebih luas walaupun mesejnya tetap sama.


Cabaran baharu perjuangan


Perubahan keadaan dari kekentalan diri para pejuang yang ditekan dan dizalimi kepada keadaan yang lebih selesa juga mewujudkan cabaran baharu yang tidak sedikit. Keselesaan baharu dengan Kerajaan Negeri dan Pusat yang dipimpin juga mewujudkan beberapa sikap complacency. Ini cabaran baharunya.


Dari segi pembinaan perjuangannya, terutama melalui wadah KEADILAN, ianya diperkasakan antara lain adalah dengan 30 siri program Latihan BINAWADAH di awal dekad pertama reformasi dan 20 siri Program SEHARUM (Seminar Harapan Baharu Untuk Malaysia) di awal dekad kedua Reformasi. Manakala di awal dekad ketiga Reformasi, digerakkan dengan kewujudan Gabungan NGO-NGO Reformis Malaysia atau GRM dengan pelbagai strateginya dalam mendukung perjuangan dan agenda Reformasi.


Dalam konteks terbaru melalui Sembang Santai GRM dan Bicara MINT (Membangun Insan, Negara & Tamadun) GRM, ratusan ribu telah mengikutinya. Sembang Santai GRM merupakan siri yang membincangkan isu-isu semasa termasuklah DSAI sebagai PM9, Belanjawan 2021, Ekonomi Manusiawi, Gagasan Reformasi Menurut Al Quran, Sabotaj Air di Selangor, Membangun Usahawan Baharu, Menangani Impak Covid-19, Reformis Berjasa-Berkhidmat, DSAI dari kacamata Ahli-ahli Parlimen dan kesatuan sekerja dan lain-lain isu. Manakala Bicara MINT GRM membahaskan aspek-aspek pembangunan insan, negara dan tamadun antara lainnya membangun insan unggul, budaya ilmu dan IR 4.0, Kepemimpinan Berhikmah, Masyarakat Madani, Malaysia Baharu, Pembangunan Generasi Muda Serantau serta Globalisasi Manusiawi.


Memasuki dekad ketiga reformasi juga seharusnya meningkatkan lagi kreativiti generasinya terutama dalam menangani era Revolusi Industri (IR) 4.0 dengan serba macam fenomena yang melingkarinya. Para reformis juga perlu bergerak dan kehadapan dengan moto reformis berbakti-berjasa. Menelusuri abad ke-21 ini juga meminta para reformis terus menghayati Masyarakat Madani, Kepemimpinan Berhikmah serta Pembinaan Malaysia Baharu.


Covid 19 dan kerangka baharu politik


Cabaran semasa juga dengan Covid 19 mewujudkan pelbagai fenomena baharu. Secara keseluruhannya dengan Covid 19, menghimbau kepada kerangka baharu politik dan ekonomi Malaysia. Ringkasnya ia menatijahkan perlunya Reset Ekonomi dan Politik Malaysia maupun di peringkat global. Dalam aspek politik perlunya diwujudkan persefahaman baharu, manakala di aspek ekonominya pula memerlukan model baharu.

Sesungguhnya masa hadapan terus meminta kita bersama mempersiapkan generasi penerus perjuangan dan gerakan reformasi. Reformasi atau islah pada hakikatnya adalah suatu proses yang berterusan. Kesediaan para reformis untuk belajar dan memperkemaskan diri juga adalah suatu yang berterusan minal mahdi ilal lahdi, from cradle to grave yard, hou tao lao xue taoi lao, kalvi pirapu muthal yirapu varai.


Peranan semua pihak, meminta supaya sentiasa memperkemaskan lakaran perancangan strategik menghadapi abad 21 dengan adanya visi, misi, sasaran strategik, SWOT, asakan stategi utama, taktik, pelan tindakan, program dan penanggungjawabannya serta tempoh masa.


Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum, sehingga kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada dirinya (Al Raad, 11). Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi) yang lemah (An Nisa, 9).

Analisis ringkas gerakan Reformasi selama dua dekad ini merupakan pandangan tulus penulis. Mungkin ada yang bersetuju dan juga sebaliknya. Namun ia merupakan kerangka asas yang cukup menarik untuk terus dikembangkan sejarah dan naratifnya.

Rakaman penghormatan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah atas pengorbanan dan semangat yang diberikan terhadap Gerakan Reformasi. Titipan penghargaan buat Datuk Seri Amnuddin Harun atas sumbangan dan dukungan terhadap GRM dan perjuangan Reformasi. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan dan memberi sumbangan besar dalam perjuangan Reformasi.

__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden KEADILAN juga Penyelaras Gabungan Reformis Malaysia (GRM)




0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page