Padang awam Batu Uban dicadang dinaik taraf, tiang gol futsal diluluskan


Padang awam Kampung Batu Uban dicadang untuk dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk yang menggunakannya untuk aktiviti sukan serta riadah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, beliau telah memohon pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempertimbangkan kerja-kerja menaik taraf padang berkenaan termasuk menambah baik kemudahan sedia ada.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kemudahan sukan di peringkat komuniti terus diperkasakan, khususnya untuk kegunaan golongan muda.
"Saya telah memohon pihak MBPP untuk mempertimbangkan kerja-kerja menaik taraf padang awam Kampung Batu Uban, termasuk menambah baik kemudahan sedia ada agar lebih selesa, selamat dan sesuai digunakan untuk aktiviti sukan serta riadah masyarakat setempat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Hari Malaysia, Piala YB A Kumaresan, anjuran MPKK Batu Uban dengan kerjasama Ahli Majlis MBPP sempena sambutan Hari Malaysia.
Dalam pada itu, Kumaresan berkata permohonan penduduk untuk mendapatkan dua buah tiang gol futsal turut diluluskan.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan diharap dapat terus dimanfaatkan penduduk, terutama anak muda, untuk bersukan, membina persahabatan dan mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat.
Kumaresan yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, kejohanan sukan di peringkat komuniti bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya berperanan menyatukan penduduk dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
"Kejohanan seperti ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kemenangan di atas padang. Sukan berupaya menyatukan komuniti, mengeratkan hubungan sesama penduduk serta menyediakan ruang yang sihat dan positif untuk anak-anak muda," katanya.
Kemeriahan kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran barisan pemain dan kejurulatihan Penang Football Club (Penang FC), selain penyertaan pasukan-pasukan yang bertanding serta penduduk Kampung Batu Uban.
Kumaresan juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MPKK Batu Uban, Rosman Rahim dan seluruh barisan jawatankuasa atas usaha serta komitmen menjayakan program berkenaan.
"Program komuniti seperti ini dapat dilaksanakan dengan baik apabila semua pihak berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan," katanya.
Turut hadir Ahli Majlis MBPP, Manimaran Samba Sivam, Aidil Fitri, Mohamad Khairani dan Zuraida; Pengarah Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP, Muaz; Ketua Cawangan Umno Batu Uban, Datuk Laikat; serta Ketua AMK Bayan Baru, Fariz.
Kumaresan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, penaja, semua pasukan yang bertanding serta penduduk Kampung Batu Uban atas sokongan dalam menjayakan kejohanan berkenaan.




Comments