top of page

'Orang Melayu Melaka fokus isu harian, bukan Melayu terancam'

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
4 hours ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim

Orang Melayu di Melaka perlu berani membuat keputusan politik tanpa terus dibayangi ketakutan kononnya hak kaum itu dan kedudukan Islam akan terancam sekiranya berlaku perubahan kerajaan.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim berkata, sudah tiba masanya budaya politik berasaskan keyakinan, ilmu dan kemampuan menilai kepimpinan menggantikan pendekatan yang menggunakan sentimen kaum serta agama untuk mempengaruhi pengundi.


Beliau berkata, rakyat khususnya pengundi Melayu tidak seharusnya terus dianggap sebagai kelompok yang mudah dipengaruhi dengan ancaman kehilangan hak dan kedudukan sekiranya memilih kepimpinan berbeza.


"Orang Melayu boleh buat keputusan untuk bangsa mereka. Orang Melayu berani untuk lakukan anjakan dan juga perubahan," katanya ketika berucap pada program ceramah kelompok di DM Kampung Bukit Rambai, kelmarin.


Menurut Kamil, politik ketakutan yang dimainkan sejak sekian lama hanya menyebabkan masyarakat terus berada dalam keadaan bimbang dan bergantung kepada kelompok pemimpin tertentu, seolah-olah mereka tidak mampu berfikir serta menentukan masa depan sendiri.


Kamil berkata, budaya politik baharu adalah berteraskan keyakinan, iaitu memberi ruang kepada rakyat menilai calon berdasarkan kemampuan, rekod kerja dan penyelesaian yang ditawarkan, bukannya terperangkap dengan slogan perkauman.


Jangan alih fokus daripada masalah sebenar


Beliau mengingatkan pengundi supaya tidak membiarkan isu Melayu dan Islam mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar yang masih membelenggu kehidupan harian mereka.


Antaranya masalah infrastruktur seperti jalan sempit dan berlubang, longkang tersumbat, banjir, kesesakan lalu lintas, pembangunan tidak seimbang serta peluang pekerjaan untuk anak muda.


"Gunakan medan pilihanraya ini untuk nilai pemimpin mana yang datang dan tawarkan penyelesaian kepada permasalahan ini," katanya.


Beliau mengambil contoh masalah nelayan di Kampung Sungai Pinang yang dibangkitkan selepas beliau turun padang bertemu komuniti berkenaan beberapa minggu lalu.


Katanya, nelayan mengadu mengenai keadaan tangga jeti yang reput, kekurangan pencahayaan serta balai raya yang daif sebelum beliau membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurutnya, kira-kira dua minggu lalu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kemudahan nelayan berkenaan.


Kamil berkata, tindakan itu menunjukkan pendekatan politik sepatutnya berteraskan usaha mendengar masalah rakyat dan membawa penyelesaian, bukannya sekadar memainkan sentimen menjelang pilihanraya.


Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai pihak yang meluluskan penjualan tanah tambakan dan pemindahan milik tanah bernilai tinggi di Melaka ketika terdapat pihak yang lantang mendakwa hak Melayu semakin terancam.


Tambah Kamil, perbahasan mengenai kepentingan Melayu tidak seharusnya terhenti pada slogan, sebaliknya perlu disertai penelitian terhadap keputusan pentadbiran dan pihak yang bertanggungjawab meluluskan urusan tanah berkenaan.


"Tanah yang ditambak itu yang dijual kepada orang lain tu siapa yang jual?


"Tanah-tanah di tengah Kota Melaka itu yang besar nilainya, kalau dipindahkan kepada orang lain saya nak tanya, siapa yang luluskan pindahan itu?


"Siapa yang luluskan dalam mesyuarat negeri? Siapa yang tandatangan surat tatacara pindah milik tanah itu?" soalnya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page