top of page

Orang beriman tidak persenda, jadikan agama bahan jenaka – Dr Zulkifli

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
3 hours ago
2 min read
Senator Dr Zulkifli Hasan. Gambar arkib
Senator Dr Zulkifli Hasan. Gambar arkib

Orang beriman ditegah daripada mempersenda, menghina, mencemuh atau merendahkan orang lain, termasuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.


Beliau berkata, perkara itu jelas dinyatakan dalam Islam menerusi Surah Al-Hujurat ayat 11 yang melarang orang beriman daripada menghina sesama manusia, mengejek, memanggil dengan gelaran buruk serta mencela antara satu sama lain.


"Bergurau yang bersifat mempersenda, menghina, mencemuh, atau merendahkan orang lain adalah dilarang keras dalam Islam.


"Surah Al-Hujurat ayat 11 dengan jelas melarang orang beriman daripada menghina sesama manusia, mengejek, memanggil dengan gelaran yang buruk, serta mencela antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan.


Menurut Zulkifli, setiap pemimpin seharusnya mengangkat wacana yang matang dalam setiap pidato atau ucapan, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan pengukuhan perpaduan.


"Dalam setiap pidato atau ucapan, seseorang pemimpin sepatutnya mengangkat wacana yang matang, berfokus kepada pembangunan negara serta pengukuhan perpaduan, bukannya diwarnai dengan jenaka berunsur seksual apatah lagi yang menyentuh sensitiviti institusi agama lain," katanya.


Beliau berkata, perbuatan menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan gurauan sebagaimana terjadi dalam ucapan oleh seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno 2026 bukan sahaja bercanggah dengan adab kepimpinan, malah boleh menjejaskan keharmonian antara agama.


"Perbuatan menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan lelucon, merendahkan nilai adab kepimpinan dan merobek keharmonian antara agama yang sentiasa dipertahankan di negara ini," katanya.


Zulkifli berkata, pemimpin yang menjadi teladan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan umat Islam, wajar menginsafi sebarang kekhilafan dan mengambil tindakan sewajarnya.


Beliau turut menyeru semua pihak supaya kembali memberi tumpuan kepada isu berkaitan kepentingan rakyat serta membudayakan wacana awam yang berteraskan hikmah, kesopanan dan nilai akhlak yang tinggi.


"Saya menyeru semua pihak untuk kembali menumpukan perhatian kepada isu-isu kepentingan rakyat dan membudayakan wacana awam yang berasaskan hikmah, kesopanan, serta nilai akhlak yang tinggi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page