top of page

PRN Melaka: Jangan nilai PH melalui slogan, tengok rekod, hasil kerja - Jonathan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read
Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Jonathan Vela
Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Jonathan Vela

Pengundi di Melaka perlu menilai rekod pencapaian, kesungguhan serta komitmen setiap parti politik dalam menentukan masa depan negeri, bukan sekadar terpengaruh dengan janji dan slogan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).


Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Jonathan Vela berkata tema Pakatan Harapan (PH), 'Melaka Rumah Kita', mencerminkan aspirasi gabungan itu untuk membina masa depan negeri yang lebih baik menerusi usaha bersama dan mengutamakan kebajikan rakyat.


Menurutnya, perjuangan politik KEADILAN bukan sekadar mendapatkan mandat, sebaliknya memastikan dasar dan keputusan kerajaan membawa perubahan bermakna kepada kehidupan masyarakat.


"Isu peluang pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup, perlindungan pekerja dan kesejahteraan keluarga perlu terus diberikan perhatian melalui tindakan yang jelas serta pelaksanaan yang boleh dinilai," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, pelbagai usaha telah digerakkan melalui peranan KEADILAN dalam kerajaan bagi memperkukuh perlindungan sosial, memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Bagaimanapun, katanya, parti itu mengakui masih terdapat cabaran yang perlu ditangani dan kepercayaan rakyat hanya dapat dipelihara melalui kesungguhan melaksanakan komitmen serta kesediaan memperbaiki kelemahan.


"Kepercayaan rakyat mesti dipelihara melalui kesungguhan melaksanakan komitmen, kesediaan memperbaiki kelemahan dan keberanian untuk dipertanggungjawabkan atas hasil yang dicapai," katanya.


Dalam pada itu, Jonathan mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan kematangan politik ketika berbahas dan bersaing sepanjang kempen PRN Melaka.


Katanya, perbezaan pandangan politik dalam demokrasi tidak seharusnya dimanipulasi menggunakan sentimen perkauman, prasangka atau kandungan yang boleh mencetuskan permusuhan antara masyarakat.


Sebaliknya, beliau menegaskan setiap dakwaan perlu dinilai berdasarkan fakta, manakala perbezaan kaum dan agama harus dihormati sebagai sebahagian daripada realiti masyarakat Malaysia.


"Politik sepatutnya menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya mencipta perpecahan yang mengalihkan perhatian daripada isu sebenar," katanya.


Mengulas peranan pengundi, beliau berkata, PRN Melaka merupakan peluang untuk rakyat menilai rekod setiap pihak, meneliti tawaran dasar dan mempersoalkan bagaimana komitmen yang diumumkan akan dilaksanakan.


Katanya, pengundi wajar meneliti pencapaian yang telah direalisasikan, perkara yang masih belum diselesaikan serta perancangan setiap parti untuk masa depan negeri.


Jonathan berkata, KEADILAN akan terus berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang menerusi tindakan konsisten, dasar inklusif dan komitmen mendengar suara rakyat.


"Tidak dapat dinafikan, kepercayaan tidak terbina melalui slogan semata-mata. Ia dibina melalui kerja, integriti dan hasil yang dapat dirasai.


"Itulah ukuran penting yang wajar menjadi pertimbangan rakyat Melaka dalam menentukan masa depan negeri mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page