Kajian diat boleh jadi panduan pindaan Akta Pengangkutan Jalan – Dr Zulkifli


Kajian mengenai diat atau pampasan yang diterbitkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpotensi dijadikan rujukan dalam usaha kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan MADANI melaksanakan pindaan berkenaan sebagai langkah memastikan hak mangsa dan keluarga mereka terbela.
Beliau berkata, cadangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027.
"JPM (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh usaha Kerajaan MADANI untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa atau waris," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurutnya, kajian mengenai diat atau pampasan boleh dijadikan panduan dan rujukan dalam proses merangka pindaan akta berkenaan.
Dalam pada itu, Zulkifli turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan atas penerbitan kajian berkaitan kefahaman dan pelaksanaan diat.
Katanya, beliau juga telah memberikan penjelasan ringkas kepada Menteri Pengangkutan mengenai konsep diat berkenaan.
Usaha memperkenalkan mekanisme pampasan itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan pemandu yang menyebabkan kemalangan ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah turut bertanggungjawab terhadap kerugian dan penderitaan yang ditanggung mangsa serta keluarga mereka.



Comments