top of page

Populariti, hubungan akar umbi faktor sokongan di Machap Jaya

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
3 hours ago
2 min read
Dr Maszlee Malik ditemui selepas mengiringi Datuk Ginie dalam penamaan calon DUN Machap Jaya
Dr Maszlee Malik ditemui selepas mengiringi Datuk Ginie dalam penamaan calon DUN Machap Jaya

Populariti dan hubungan rapat Datuk Ginie Lim dengan masyarakat setempat sejak hampir dua dekad lalu dilihat antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan calon Pakatan Harapan (PH) itu dalam merebut mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, Ginie bukan sahaja pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu, malah terus mendekati masyarakat meskipun ketika tidak memegang jawatan sebagai ADUN.


Menurutnya, beliau sendiri pernah mengikuti Ginie turun padang ke kampung, taman perumahan dan kawasan kampung baru, sekali gus melihat sendiri hubungan calon berkenaan dengan penduduk setempat.


"Satu kelebihan Datuk Ginie, dia pernah menjadi ADUN di sini dan walaupun sebelum itu tidak menjadi ADUN, dia masih menyantuni rakyat.


"Dia agak dikenali. Saya sendiri sering mengikuti beliau ke kampung, ke taman, ke kampung baru dan sebagainya. Di kawasan-kawasan ini pun, beliau agak popular," katanya ketika ditemui pada hari penamaan calon PRN Melaka ke-16 di Dewan Japerun Machap Jaya, hari ini.


Maszlee berkata, populariti yang dibina Ginie melalui hubungan berterusan dengan masyarakat itu diharapkan dapat diterjemahkan kepada sokongan pengundi dalam pilihan raya kali ini.


"Kita harapkan supaya populariti Datuk Ginie itu boleh meraih undi dan mendapatkan sokongan pengundi untuk PH," katanya.


Mengulas tawaran PH kepada pengundi Machap Jaya, beliau berkata, manifesto yang menjadi asas kepada agenda pembangunan dan kemajuan yang ingin diteruskan sekiranya diberikan mandat.


Tambahnya, tawaran PH bukan sekadar meneruskan pembangunan sedia ada, tetapi turut memberi penekanan kepada aspek tadbir urus baik, kestabilan dan tanggungjawab kepada rakyat.


Dengan pengalaman sebagai bekas wakil rakyat serta hubungan yang masih terjalin dengan penduduk, Ginie kini berdepan cabaran untuk menterjemahkan pengenalan dan populariti tersebut kepada sokongan sebenar di peti undi.


"Lebih daripada sekadar menambah dan meneruskan kemajuan, kita juga mahu memastikan unsur tadbir urus yang baik supaya rakyat mendapat kestabilan dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page