Optimis kekalkan DUN Sikamat: 'Rekod empat penggal jadi ukuran rakyat'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad (gambar) mengakui tidak memandang mudah saingan yang bakal dihadapi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan, meskipun kerusi itu menjadi kubu kuat PH sejak empat penggal lalu.
Menurut beliau, rekod pentadbiran dan khidmat yang ditinggalkan penyandang, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, diyakini menjadi sandaran utama untuk terus meraih kepercayaan rakyat.
"Saya tidak memandang mudah cabaran di Sikamat, walaupun sudah empat penggal Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.
"Namun berdasarkan rekod pentadbiran dan khidmat yang telah kita tunjukkan sepanjang diberi amanah di DUN Sikamat, saya yakin, InsyaAllah, itu menjadi asas kepada penilaian masyarakat," kata Nor Azman.
Nor Azman berkata, sepanjang tempoh pentadbiran PH, pelbagai keperluan asas penduduk diberi perhatian termasuk aspek infrastruktur serta kemudahan awam demi meningkatkan keselesaan masyarakat.
"Kita telah memastikan keselesaan penduduk DUN Sikamat dari segi infrastruktur dan kemudahan yang perlu diberi perhatian.
"Hampir semua perkara yang diperlukan oleh masyarakat di DUN Sikamat telah kita berikan perhatian," jelas beliau.
Nor Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kebanyakan kawasan perumahan di Sikamat telah melebihi usia 20 tahun dan didiami ramai warga emas, justeru kebajikan golongan itu terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri.
Katanya, pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Ceria Warga Emas diperkenalkan bagi memastikan golongan berkenaan terus mendapat perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan golongan muda turut menjadi fokus menerusi pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan.
"Tumpuan juga diberikan kepada anak-anak muda termasuk bantuan pendidikan, bantuan perkahwinan serta kemudahan rekreasi dan riadah," katanya.
Mengulas mengenai kempen, Nor Azman berharap pengundi DUN Sikamat terus memberikan mandat kepada PH bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.
"Kepada semua pengundi DUN Sikamat, jangan lupa mengundi calon Pakatan Harapan nombor tiga, Nor Azman Mohamad.
"Bersama-sama kita meneruskan legasi kecemerlangan Datuk Seri Aminuddin dan menyumbang kerusi untuk pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan, InsyaAllah," katanya.
Aminuddin merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal berturut-turut sejak 2008 sebelum memberi laluan kepada Nor Azman mempertahankan kerusi itu pada PRN-16 yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini.
