top of page

Operasi sekat PATI dipertingkat, pendatang asing dihantar pulang

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Warga Bangladesh, Pakistan disyaki migran diseludup berjaya ditahan Jabatan Imigresen di Cheras, Selangor pada 8 Julai 2026. Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia melalui Facebook
Warga Bangladesh, Pakistan disyaki migran diseludup berjaya ditahan Jabatan Imigresen di Cheras, Selangor pada 8 Julai 2026. Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia melalui Facebook

Kerajaan mempertingkat operasi bersepadu bagi membanteras kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) termasuk individu yang memasuki negara melalui lorong-lorong haram selain mengekang aktiviti penyeludupan manusia, pemerdagangan orang dan penyalahgunaan dokumen.


Langkah itu dilaksanakan susulan kebimbangan rakyat terhadap pengurusan pelarian serta risiko keselamatan komuniti setempat akibat kegiatan sindiket yang mengeksploitasi kelemahan kawalan sempadan.


Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini menerusi pembentangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan keselamatan domestik dan sempadan serantau, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.


"Kerajaan mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung pengurusan pelarian, khususnya isu dokumentasi sindiket pemerdagangan manusia dan kesannya kepada keselamatan komuniti setempat.


"Operasi bersepadu untuk membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram akan dipertingkatkan," katanya dalam taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.


Akmal Nasrullah berkata langkah tersebut dilaksanakan dengan memanfaatkan penggunaan analitik data dan teknologi pemantauan bagi mengesan risiko dan menyokong tindakan penguatkuasaan.


"KDN melalui Jabatan Imigresen sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan serta penguatkuasaan terhadap golongan pelarian," ujarnya.


Selain itu, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bukan dokumen kewarganegaraan dan ia tidak memberikan sebarang imuniti daripada tindakan undang-undang Malaysia.


"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan," menurut kerajaan.


Bagi memperkukuh keselamatan pintu masuk negara, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan merentasi beberapa agensi bagi projek berkaitan kawalan dan keselamatan sempadan, jelas Akmal Nasrullah.


Katanya, peluasan operasi agensi kawalan dan perlindungan sempadan turut dipercepatkan bagi menyeragamkan pengurusan serta penguatkuasaan di semua pintu masuk negara.


Dalam pada itu, Jabatan Imigresen (JIM) terus mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi siri operasi bersepadu di seluruh negara.


Antara tindakan terbaru ialah Ops Mega di sekitar Hentian Klang pada 10 Julai lalu yang menyaksikan pemeriksaan terhadap lebih 1,000 warga asing di kawasan berkenaan.


"Operasi mengejut itu menyasarkan lot kedai, premis perniagaan dan asrama yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan penempatan serta aktiviti ekonomi komuniti warga asing," katanya JIM dalam hantaran di media sosialnya.


Selain operasi penguatkuasaan, JIM turut melaksanakan program pemindahan tahanan PATI ke negara asal sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan tahanan imigresen.


Pada 9 Julai lalu Depot Imigresen Papar, Sabah melaksanakan pemindahan 12 tahanan warga China yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan dua wanita dewasa ke Guangzhou, China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas selesai proses perundangan serta pengesahan dokumen perjalanan bersama pihak kedutaan.


Secara keseluruhan, seramai 4,005 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal setakat ini.


Jumlah itu melibatkan warga Filipina seramai 2,578 orang, Indonesia (1,207), Pakistan (100), China (84), Vietnam (18) serta lain-lain negara (18).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page