Onn Hafiz main politik ketakutan tutup kelemahan pentadbiran?
- Azuan Ab Rahman

- 1h
- 2 min read

Kenyataan politik sempit Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi didakwa sebagai satu percubaan menutup kegagalan untuk menawarkan agenda pembangunan yang benar-benar meyakinkan rakyat Johor.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, kenyataan Onn Hafiz yang bersandarkan sentimen perkauman menolak parti DAP dan politik identiti menggambarkan pemimpin UMNO itu mengamalkan cara politik lama yang sepatutnya sudah ditinggalkan dalam Malaysia moden.
"Ini bukan kepimpinan. Ini politik yang lahir daripada ketakutan.
"Apabila pemimpin gagal menjual pencapaian dan visi masa depan, mereka akan kembali kepada modal lama iaitu memainkan sentimen kaum bagi menakutkan rakyat," ujarnya dalam kenyataan.
Onn Hafiz menerima kritikan daripada beberapa pemimpin politik susulan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Negeri.
Malah beberapa pemimpin DAP membalas dengan mendakwa Onn Hafiz pernah merayu sokongan DAP semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 2024.
Menerusi kenyataan sama, Saifuddin turut mempersoalkan sama ada pendirian Onn Hafiz itu merupakan satu "sindiran terbuka" terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau juga bertanya sama ada Menteri Besar Johor itu cuba membawa UMNO negeri bergerak berasingan daripada kepimpinan parti di peringkat pusat.
"Apabila Presiden dan kepimpinan UMNO Pusat mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, Onn Hafiz memilih untuk memainkan sentimen sempit yang bercanggah dengan semangat tersebut.
"Ia menimbulkan persoalan sama ada Onn Hafiz sedang bercakap bagi pihak UMNO atau hanya bagi pihak dirinya sendiri.
"Rakyat melihat ini sebagai satu sindiran terbuka terhadap Presiden parti sendiri. Jika tidak bersetuju dengan hala tuju UMNO Pusat, nyatakan secara terus. Jangan bermain politik dua wajah," tegasnya.
Saifuddin menegaskan, rakyat Johor lebih berminat mendengar penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pengangkutan awam dan pembangunan seimbang berbanding retorik politik yang memecahbelahkan masyarakat.
Johor tegasnya memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat dan membawa agenda pembangunan untuk semua, bukannya pemimpin yang melihat setiap isu melalui lensa Melayu, Cina dan India.
"Johor tidak akan maju jika politiknya terus terperangkap dalam pemikiran lama.
"Anak muda tidak bertanya apa bangsa pelabur yang membawa pekerjaan ke negeri ini. Peniaga kecil tidak bertanya apa kaum pelanggan yang membeli produk mereka. Rakyat mahu ekonomi yang berkembang dan peluang yang adil untuk semua," tambahnya.
Dalam pada itu beliau berkata, Onn Hafiz sepatutnya menjelaskan mengapa pembangunan masih terlalu tertumpu di Johor Bahru sedangkan banyak daerah lain terus ketinggalan.
"Apa yang berlaku kepada Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian, Tangkak dan Batu Pahat? Mengapa jurang pembangunan antara daerah masih begitu ketara?
"Daripada menjawab persoalan ini, Onn Hafiz memilih untuk bercakap soal kaum. Ini menunjukkan beliau kehabisan idea untuk mempertahankan rekod pentadbirannya sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin menyeru rakyat Johor supaya menolak politik perkauman dan memilih calon-calon yang akan membawa agenda pembangunan lebih inklusif serta pengagihan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negeri.
Johor tegasnya berhak mendapat lebih baik daripada politik ketakutan memecah-belahkan rakyat yang sedang cuba dijual oleh Onn Hafiz.




Comments