Onn Abu Bakar seru kempen berhemah, tolak berita palsu
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar (gambar), menyeru seluruh jentera parti menjalankan kempen secara berhemah, berlandaskan fakta serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, suasana pilihanraya perlu diraikan dalam semangat demokrasi yang matang dengan mengelakkan penyebaran berita palsu serta sebarang bentuk provokasi.
"Kita teruskan bekerja. Kempen secara berhemah. Ini negara demokrasi. Kita elakkan fake news.
"Berhujah mestilah dengan fakta," katanya selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di ADTEC Batu Pahat, hari ini.
Menurut Onn, tempoh dua minggu berkempen dijangka penuh dengan pelbagai cabaran, justeru beliau mengingatkan semua jentera supaya kekal tenang, bersabar dan terus istiqamah dalam melaksanakan amanah.
"Dalam masa dua minggu ini ada macam-macam dugaan yang kita hadapi. Kita kena bersabar dan jaga kesihatan," katanya.
Beliau turut memaklumkan segala persiapan menghadapi pilihan raya telah dilakukan sejak minggu lalu dan berharap seluruh jentera PH serta KEADILAN terus mengekalkan momentum sehingga hari pengundian.
"Pesanan saya kepada jentera PH dan KEADILAN, persiapan dah dibuat dari minggu lepas. Kita kena istiqamah dalam tempoh dua minggu ini dan sentiasa patuhi peraturan SPR," katanya.
Pencalonan Onn menjadi antara tumpuan utama PRN Johor kali ini apabila Ahli Parlimen Batu Pahat itu diberi kepercayaan untuk mewakili PH di kerusi DUN Senggarang.
Onn secara rasmi menawarkan diri sebagai calon PH bagi kerusi DUN Senggarang selepas selesai proses penamaan calon hari ini, sekali gus membawa aspirasi gabungan itu untuk memperkukuh sokongan rakyat di kawasan berkenaan.
Di DUN Senggarang Onn Abu Bakar menentang penyandang kerusi, Mohd Yusla Ismail dan calon PN, Datuk Mohd Rashid Hasnon.




Comments