Nik Zawawi malukan Pas, parti perlu ambil tindakan - Mahfuz
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Parti AMANAH menyifatkan permohonan maaf Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang sebelum ini dikecam kerana dakwaan menghina sahabat Rasulullah s.a.w sebagai tidak ikhlas.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, beliau meragui keikhlasan permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh itu yang dibuat hanya selepas mendapat kritikan pelbagai pihak.
"Kalau kita lihat dalam video (penjelasan awal) dia tak minta maaf pun, tetapi dia mencerca dan memperkecilkan orang yang menegur dan dia memaafkan pihak lain.
"Hari ini (semalam) dia memohon maaf, tapi dalam kenyataan sama dia sebut juga bahawa tidak ada riwayat berkait kisah sahabat Nabi di zaman jahiliah, dan kalau ada pun hanya bertaraf daif (lemah).
"Sebagai seorang memiliki PhD (doktor falsafah) dalam bidang agama, Nik Zawawi sepatutnya tidak menggunakan perkara-perkara daif untuk penghujahan bagi mengundang 'takbir' (semasa ceramah)," katanya dipetik.
Nik Zawawi yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dalam satu ceramah politik Ahad lalu didakwa mempersenda empat orang sahabat paling dekat dengan nabi.
Ia termasuk tuduhan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar al-Khattab berperangai ganas serta suka melakukan maksiat.
Mahfuz sementara itu mendesak Pas mengambil tindakan tegas terhadap Nik Zawawi kerana memalukan institusi ulama mereka.
"Bagi saya tak memadai Nik Zawawi mohon maaf saja, bahkan Pas perlu bertegas kerana tidak pernah ambil tindakan untuk merehatkan pemimpin.
"Saya juga berharap pihak berkuasa memandang serius isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya sebagai pengajaran," kata Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden Pas.




Comments