top of page

NGO Malaysia, serantau lancar kempen bantuan musim sejuk Gaza

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
13 hours ago
2 min read

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Malaysia dan serantau berganding bahu melancarkan Kempen Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Gaza bagi membantu keluarga Palestin yang berdepan keadaan kemanusiaan kritikal menjelang musim sejuk.


Kempen berkenaan diselaraskan Sekretariat Gaza Humanitarian Aid Action di bawah kepimpinan Presiden Malaysia Global Coalition in Support of Al Quds and Palestine dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.


Menurut Mohd Azmi, kempen itu menghimpunkan NGO Malaysia serta rakan kemanusiaan dari rantau ini dengan matlamat memastikan keluarga Palestin paling terdedah tidak menghadapi musim sejuk tanpa perlindungan, makanan, tempat berlindung dan bantuan perubatan.


"Musim sejuk akan menambahkan lagi penderitaan keluarga yang sedia hidup dalam keadaan amat terdedah. Bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung dalam khemah atau penempatan yang tidak sempurna, cuaca sejuk dan hujan boleh menjadi ancaman kemanusiaan yang serius," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata gerak kerja kemanusiaan perlu dilaksanakan secara bersama dan terselaras bagi memastikan sumber bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang paling memerlukan.


"Kita mungkin datang daripada organisasi yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu tanggungjawab kemanusiaan. Matlamat kita adalah memastikan setiap sumber yang dapat digerakkan diselaraskan dan disalurkan kepada keluarga yang paling memerlukan bantuan," ujarnya.


Kempen itu memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan iaitu perlindungan musim sejuk termasuk pakaian, selimut dan keperluan pemanasan; keselamatan makanan termasuk bantuan makanan asas dan bekalan pemakanan; tempat perlindungan kecemasan; bantuan perubatan kecemasan; serta perlindungan kanak-kanak dan keluarga rentan.


Golongan yang diberi perhatian khusus termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita dan individu yang mempunyai keperluan khas.


Pada masa sama, kempen berkenaan menekankan aspek ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan sumbangan.


Organisasi yang menyertai usaha itu digalakkan menyediakan rekod jelas berkaitan kutipan dana, perolehan, penghantaran bantuan serta jumlah dan kelompok penerima manfaat.


"Kami mahu rakyat Malaysia mengetahui ke mana sumbangan kemanusiaan mereka disalurkan. Rasa ihsan mesti disertai dengan akauntabiliti. Setiap ringgit yang diamanahkan kepada organisasi kemanusiaan membawa satu tanggungjawab," tegas Azmi.


Kempen itu turut membuka ruang penyertaan kepada syarikat korporat, yayasan, masjid dan surau, universiti, sekolah, badan profesional, organisasi masyarakat, NGO serta individu untuk menyumbang dan menggerakkan bantuan.


Rakan kemanusiaan dari Asia Tenggara juga digalakkan menyertai mobilisasi serantau itu supaya bantuan dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berkesan.


"Pesanan kempen ini amat jelas: Gaza tidak boleh menghadapi musim sejuk sendirian. Malaysia dan rakan-rakan serantau perlu menterjemahkan solidariti kepada tindakan kemanusiaan yang nyata, tersusun dan bertanggungjawab," katanya.


Pada peringkat awal, kempen memberi tumpuan kepada bantuan kecemasan musim sejuk. Pada masa sama, organisasi terbabit digalakkan menghubungkan bantuan kecemasan dengan usaha membina daya tahan jangka sederhana dan panjang.


Hal itu termasuk aspek keselamatan makanan, perkhidmatan kesihatan, pemulihan tempat perlindungan dan sokongan mata pencarian apabila keadaan mengizinkan.


Menurut kenyataan itu lagi, usaha berkenaan akan terus menekankan prinsip bahawa bantuan kemanusiaan perlu disampaikan kepada mereka yang memerlukan secara cepat, bermaruah, telus dan berakauntabiliti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page