NGO kecam Israel ambil alih kuasa perancangan, pembangunan Masjid Ibrahimi
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Empat pertubuhan Islam Malaysia menuntut Israel membatalkan serta-merta keputusan mengambil alih kuasa perancangan dan pembangunan di sekitar Masjid Ibrahimi di Hebron daripada pihak berkuasa Palestin.
Dalam kenyataan media bersama, keempat-empat pertubuhan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbaharu pihak berkuasa penjajah Israel sambil menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNESCO dan masyarakat antarabangsa agar campur tangan dengan segera bagi menghalang sebarang perubahan terhadap status dan pentadbiran Masjid Ibrahimi serta kawasan sekitarnya.
"Kami juga menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan perundingan tergempar berhubung ancaman yang semakin meningkat terhadap tapak-tapak suci Islam di Palestin serta merangka tindakan bersama yang berkesan.
"Semua kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti agama diseru agar menolak segala bentuk pencabulan berterusan Israel terhadap hak agama, budaya dan kebangsaan rakyat Palestin.
"Kami turut menuntut pertanggungjawaban antarabangsa terhadap pelanggaran berterusan Israel ke atas undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia serta resolusi-resolusi PBB berkaitan Wilayah Palestin yang diduduki," tegas keempat-keempat pertubuhan itu.
Keempat-empat pertubuhan itu adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysian Alliance of World Mosques in Defence of Al-Quds (MANAR), Secretariat of the Assembly of Ulama of Asia (SHURA) dan Malaysian Global Coalition in Support of Al-Aqsa and Palestine (MGCAP).
Menurut pertubuhan itu lagi, tindakan berterusan mensasarkan tapak-tapak suci Islam serta pencabulan hak rakyat Palestin hanya akan meningkatkan ketegangan dan terus menggagalkan usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.
Tegasnya, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri di saat tapak-tapak suci dijadikan sasaran manipulasi politik dan pihak penjajah terus mengenakan langkah-langkah unilateral yang melanggar norma serta perjanjian antarabangsa.
"Kami menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin dan komitmen kami untuk mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa, Masjid Ibrahimi serta seluruh warisan agama dan budaya Palestin.
"Keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. Masjid Ibrahimi adalah warisan kemanusiaan sejagat yang wajib dilindungi daripada pendudukan, perampasan dan sebarang usaha mengubah identiti serta statusnya," katanya lagi.




Comments