Negeri ditadbir Pas lebih dulu iktiraf kelayakan UEC - Danish
- Azuan Ab Rahman

- 4 hours ago
- 2 min read

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Danish Hairudin (gambar) menyelar tindakan pemimpin pembangkang yang cuba memainkan sentimen berhubung isu kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menerusi satu kenyataan beliau menegaskan, keputusan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukanlah pengiktirafan penuh secara 'pintu terbuka' seperti didakwa.
"Keputusan kerajaan hari ini sangat terhad, sangat terkawal dan masih meletakkan syarat ketat kepada pemegang UEC. Mereka wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia.
"Mereka juga bukan boleh masuk sesuka hati ke semua kursus IPTA seperti Perubatan atau Kejuruteraan. Sebaliknya, laluan itu hanya melibatkan program-program tertentu seperti Pengajian Bahasa Cina, Linguistik Cina dan bidang berkaitan bahasa ibunda sahaja," katanya.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Perkara itu kemudian digunakan pihak tertentu yang dilihat sengaja menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat dengan mengambarkan ia sebagai pengkhianatan terhadap sistem pendidikan negara. Sedangkan faktanya, UEC kekal tidak diiktiraf secara automatik untuk semua kemasukan ke IPTA.
Sementara itu Danish turut mempersoalkan reaksi Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dilihat seolah-olah terkejut dengan isu UEC berkenaan sedangkan parti mereka sendiri sendiri pernah membawa agenda berkaitan pengiktirafan sijil tersebut dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.
Beliau juga meluahkan rasa lucu melihat Pas hari ini mahu menjadi paling marah tentang UEC sedangkan institusi di bawah kerajaan Pas di Kelantan sendiri didakwa sudah lama membuka ruang kepada lepasan UEC.
"Sejak Buku Peraturan Akademik Asasi Edisi 2022, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah meletakkan syarat kemasukan yang turut menerima kelayakan UEC dengan syarat tertentu. Ia sudah berlaku di bawah pentadbiran negeri yang dipimpin Pas sendiri.
"Kalau hari ini mereka mahu menjerit kononnya kerajaan sedang membuat silap mata, rakyat juga berhak bertanya, manifesto siapa yang sebelum ini membuka ruang kepada isu ini?
"Jangan jadi pembangkang yang hanya tahu bermain sentimen dan ketakutan rakyat tanpa bercakap benar," ujarnya sambil menegaskan kemasukan ke IPTA masih tertakluk kepada merit, syarat universiti dan kelulusan Senat Universiti.




Comments