top of page

80% permohonan guru "duka lara" selesai - Fadhlina

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 16
  • 2 min read


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memberi keutamaan terhadap isu perpindahan guru kategori “duka lara” khususnya melibatkan pasangan jarak jauh bagi memastikan kebajikan warga pendidik sentiasa terpelihara.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata kementerian mengambil pendekatan lebih proaktif termasuk melonggarkan syarat permohonan perpindahan dengan mengurangkan tempoh kelayakan daripada tiga tahun kepada dua tahun sebelum seseorang guru boleh memohon pertukaran.


Menurut beliau, isu pasangan berjauhan merupakan antara faktor terbesar yang diberi perhatian dalam proses pertimbangan permohonan perpindahan guru di seluruh negara.


"Kita memang memberikan keutamaan, sebab itu dalam konteks permohonan untuk perpindahan ini, 80 peratus terkait dengan pasangan yang jarak jauh ini kita selesaikan, selain faktor lain seperti kesihatan dan lain-lain," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Hari Guru 2026 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Ipoh hari ini.


Fadhlina menjelaskan bahawa KPM sentiasa berusaha menambah baik pengurusan pertukaran guru memandangkan isu “duka lara” sering menjadi kebimbangan utama warga pendidik terutama melibatkan pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan dalam tempoh panjang.


Sebelum ini, KPM turut memaklumkan bahawa permohonan pertukaran guru dibuka sepanjang tahun, namun proses penempatan hanya dilakukan ketika musim cuti persekolahan bagi mengelakkan gangguan terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran.


"Tertinggi kita tangani (penukaran guru) ialah pasangan jarak jauh. Kita juga beri keutamaan terhadap alasan keselamatan dan kesihatan," kata Fadhlina dipetik dari kenyataan sebelum ini.


Data KPM menunjukkan sebanyak 20,003 permohonan pertukaran guru kategori pasangan berjauhan diluluskan dalam tempoh 2016 hingga 2022, mewakili 52.7 peratus daripada keseluruhan 37,941 permohonan pertukaran yang diluluskan.


Malah sehingga Jun 2024, sebanyak 45,336 permohonan pertukaran guru “duka lara” telah diluluskan sejak 2017 dengan kategori pasangan berjauhan merekodkan kadar kelulusan tertinggi berbanding faktor lain seperti kesihatan dan keselamatan.


Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut memaklumkan KPM telah berjaya menyelesaikan pelantikan melibatkan 50 kekosongan jawatan guru besar dan pengetua di sekolah seluruh negara.


Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan sekolah termasuk aspek keselamatan, pentadbiran dan agenda reformasi pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


"...peringkat Kementerian Pendidikan kita melihat perkara ini dengan serius dan mengambil langkah untuk mengisi kekosongan ini dengan segera supaya isu-isu termasuk keselamatan dan sebagainya dapat kita atasi dengan segera," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page