top of page

Negara terumbang ambing, ekonomi musnah jika semua isu dipolitikkan – Azmi Hamid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 23
  • 2 min read

ree

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), memberi amaran bahawa negara boleh menuju kehancuran sekiranya semua isu dalam kehidupan bermasyarakat terus dipolitikkan tanpa batas.


Menurut beliau, fenomena mempolitikkan segala isu – daripada harga barang, bencana, pendidikan, kesihatan hingga urusan agama – kini semakin menular dan memberi kesan buruk terhadap pentadbiran serta masa depan rakyat Malaysia.


Katanya, asas kepada kewujudan politik ialah untuk menjadi instrumen mengurus masyarakat dengan adil, teratur, dan stabil.


Namun, apabila politik dijadikan matlamat, yakni setiap isu mesti ditafsir, diulas, dan dimanipulasi demi kepentingan kelompok tertentu maka fungsi asal politik hancur. Negara, katanya, bukan lagi dipimpin dengan visi kemajuan, sebaliknya menjadi pentas pertarungan pengaruh tanpa kesudahan.


"Apabila semua isu dipolitikkan, masyarakat akan tenggelam dalam polemik berpanjangan. Rakyat dihidangkan dengan debat siapa salah, siapa benar, siapa pengkhianat, siapa juara rakyat, tetapi permasalahan sebenar seperti ketidaksamaan ekonomi, kemiskinan bandar dan desa, krisis pendidikan dan perumahan, terus dibiarkan tanpa penyelesaian konkrit.


"Negara akhirnya menjadi statik. Pemimpin sibuk mempertahankan kedudukan, rakyat sibuk beremosi dalam wacana politik, manakala pembangunan terbantut," katanya dalam satu penulisan di media sosial.


Mohd Azmi menegaskan, politik sepatutnya menjadi instrumen mengurus masyarakat dengan adil dan stabil, bukannya medan untuk mengejar pengaruh dan kuasa semata-mata.


"Bila semua isu dipolitikkan, rakyat akan terbelah mengikut garis politik yang semakin sempit. Persaudaraan sosial hancur, nilai kebersamaan lebur, dan masyarakat hidup dalam kotak partisan.


"Akhirnya negara tidak lagi bersatu dalam menyelesaikan masalah bersama, sebaliknya menjadi kumpulan-kumpulan lawan yang sanggup menolak kebenaran hanya kerana ia datang dari pihak yang dibenci.


"Polarisasi sebegini adalah racun yang perlahan-lahan melumpuhkan daya tahan sebuah bangsa," ujarnya.


Selain itu, kata beliau, rakyat yang terlalu berpolitik akan melihat keruntuhan keyakinan terhadap institusi. Badan kehakiman, institusi agama, badan pendidikan, agensi keselamatan – semuanya diseret ke gelanggang politik.


"Bila setiap keputusan dianggap berpihak kepada politik tertentu, rakyat hilang kepercayaan terhadap keadilan dan integriti.


"Negara yang hilang kepercayaan rakyat terhadap institusi terasnya pasti menuju kehancuran, kerana tiada lagi mekanisme penyelesai konflik yang diyakini," ujarnya.


Beliau turut memberi contoh negara seperti Lebanon dan Venezuela yang berdepan krisis kronik akibat isu asas dipolitikkan sehingga rakyat menjadi mangsa.


Malah dalam konteks Malaysia, kata beliau, pandemik Covid-19 pada 2020 - 2021 lalu menjadi bukti jelas apabila keutamaan rakyat diketepikan kerana perebutan jawatan.


Ujarnya, ketika rakyat berdepan ancaman kesihatan dan kehilangan pekerjaan, sebahagian elit politik lebih menumpukan kepada perebutan jawatan perdana menteri dan kedudukan dalam kabinet.


Hal yang sama berlaku dalam isu pendidikan, di mana dasar pembaharuan sering tersekat kerana dijadikan modal politik, bukan agenda nasional.


Bagi mengelakkan akibat parah itu, Mohd Azmi mencadangkan beberapa jalan keluar iaitu dengan menginstitusikan politik matang – menetapkan garis merah bahawa isu kesihatan, pendidikan dan bencana tidak boleh dijadikan modal politik; pengukuhan tadbir urus melindungi institusi negara daripada campur tangan politik kepartian; membina budaya politik baru – berteraskan nilai dan penyelesaian masalah, bukan sentimen; pendidikan politik rakyat – mendidik masyarakat menolak politik murahan; dan agenda nasional sebagai keutamaan iaitu menjadikan kemiskinan, teknologi dan kelestarian alam sebagai kepentingan bersama.


"Politik seharusnya menjadi instrumen untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan sebaliknya.


"Jika kita terus mengizinkan semua perkara dipolitikkan maka negara ini akan terjerumus ke dalam jurang perpecahan, kegagalan tadbir urus, dan akhirnya kehilangan masa depan," kata Mohd Azmi lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page