Negara rakyatnya ditahan Israel secara haram perlu bertindak tegas - KEADILAN
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Penahanan berpuluh puluh sukarelawan di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera laut Israel dikecam keras Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Menurut kenyataan biro itu, tidakan Israel memintas kapal kemanusiaan GSF di perairan antarabangsa merupakan satu tindakan tidak bertamadun dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang membenarkan kapal belayar tanpa halangan selagi belum memasuki mana mana sempadan perairan negara.
"Perbuatan biadap ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa dan menuntut tindak balas antarabangsa segera," tegas kenyataan itu.
Menurut KEADILAN, Di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), negara pantai seperti Israel hanya mempunyai kedaulatan sehingga 12 batu nautika dari pantai mereka. Sedangkan flotila sedang mengemudi di perairan antarabangsa, yang mana semua negara menikmati kebebasan pelayaran dilindungi di bawah Artikel 87 dan 90 UNCLOS.
Perlindungan "Negeri Bendera" iaitu bendera warganegara yang belayar telah dilanggar dalam serangan Israel pagi tadi. Menurut Artikel 92 UNCLOS, kapal di laut lepas kekal di bawah bidang kuasa eksklusif negara bendera mereka.
"Dengan menyerang kapal yang mengibarkan pelbagai bendera negara, Israel telah melakukan tindakan pencerobohan terhadap beberapa negara berdaulat," jelas kenyataan tersebut.
Di bawah Bidang Kuasa Negara Bendera, setiap negeri bendera yang kapalnya diserang di laut lepas mesti menegaskan bidang kuasanya ke atas pelanggaran berkenaan. Penculikan orang dari kapal pelbagai negara merupakan tindakan jenayah yang serius di bawah kedua-dua sistem perundangan antarabangsa dan domestik
Sehubungan itu, Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN menyeru tindakan segera di peringkat global dilakukan, termasuk Majlis Keselamatan PBB mengadakan sesi tergempar untuk mengutuk tindakan Israel serta melindungi misi kemanusiaan masa depan; Negara bendera memulakan prosiding undang-undang ke atas pihak bertanggungjawab; Mahkamah Jenayah Antarabangsa mempercepatkan siasatan terhadap sekatan Israel sebagai mekanisme jenayah perang; dan Negara anggota UNCLOS mempertanggungjawabkan Israel atas pelanggaran sistematik kebebasan pelayaran.
"Kami berdiri dalam solidariti yang kukuh dengan rakyat Palestin dan dengan semua mereka yang melakukan tindakan kemanusiaan yang sah untuk mengurangkan penderitaan mereka (penduduk Gaza).
"Masyarakat antarabangsa kini mesti bergerak melangkaui kenyataan kebimbangan kepada tindakan konkrit yang menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi kehidupan orang awam," kata kenyataan itu lagi.
Tegas Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Flotilla Sumud Global mewakili perpaduan kemanusiaan yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Serangan Israel ini bukan sahaja telah melanggar undang-undang maritim, malah bersubahat dalam malapetaka kemanusiaan yang berterusan di Gaza.









Comments