top of page

NATO jauhi konflik Asia Barat, hentikan perang sebelum terlambat - MAPIM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya tidak terlibat dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat dengan memberi amaran ia berisiko merebak kepada skala global.


Dalam kenyataan terbuka bertajuk “This Is Not Your War” yang ditujukan kepada pemimpin NATO, Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, konflik tersebut telah melepasi tahap berbahaya dan ia tidak lagi terhad kepada rantau berkenaan.


"Konflik yang semakin memuncak di Asia Barat kini telah melepasi satu tahap yang berbahaya. Apa yang pada awalnya direkayasa sebagai perang serantau kini pantas berkembang menjadi krisis global dengan kesan langsung terhadap negara, ekonomi dan rakyat anda.


"Ini bukan perang anda. Perang ini bukan dimulakan untuk mempertahankan kedaulatan anda mahupun untuk melindungi rakyat anda," kata beliau.


Menurut Mohd Azmi, peperangan itu sebaliknya didorong oleh kepentingan geopolitik dan ideologi pihak tertentu.


"Ia adalah perang yang didorong oleh cita-cita geopolitik, ekstremisme ideologi dan tindakan melulu segelintir pihak yang percaya mereka boleh melakar semula peta rantau ini tanpa sebarang akibat," tegasnya.


MAPIM mengingatkan bahawa anggota NATO sendiri telah mengalami kesan daripada krisis tersebut antaranya

ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kos tenaga selain ancaman keselamatan yang semakin tinggi serta risiko tindak balas.


Jelasnya, konflik Asia Barat juga menyebabkan berlaku peningkatan bantahan awam dan kemarahan moral selain hakisan undang-undang antarabangsa dan norma global.


"Dengan terus menyokong secara tidak kritikal kepada dasar Amerika Syarikat dan Israel, anda bukan melindungi negara anda sebaliknya mendedahkan kepada risiko yang lebih besar," katanya.


Justeru itu, MAPIM menggesa NATO mengambil langkah segera meredakan ketegangan termasuk menjauhkan diri daripada tindakan ketenteraan dan meningkatkan tekanan diplomatik ke arah keamanan.


"Ini adalah detik penentuan sama ada NATO akan terus menjadi alat eskalasi atau bertindak sebagai kuasa yang memperjuangkan keamanan


"Jangan biarkan diri anda ditarik ke dalam perang yang bukan milik anda sejak awal tetapi akhirnya menjadi beban yang terpaksa anda tanggung. Hentikan perang ini sebelum terlambat," kata Azmi lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page