Nasib rakyat M'sia mangsa banjir Nepal: Menteri Luar perlu beri penjelasan


Menteri Luar Negeri digesa tampil memberikan penjelasan segera berhubung nasib rakyat Malaysia yang terjejas dalam bencana di Nepal, khususnya 55 keluarga yang masih menunggu kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan insan tersayang mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, tempoh lebih dua minggu adalah terlalu lama untuk keluarga terus berada dalam keadaan tidak menentu tanpa penjelasan yang sahih dan berterusan daripada kerajaan.
"Lebih dua minggu adalah tempoh yang terlalu lama untuk sebuah keluarga terus hidup dalam ketidakpastian.
"Dalam situasi sebegini, mereka tidak seharusnya dibiarkan menunggu tanpa penjelasan yang jelas, sahih dan berterusan daripada pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, keluarga terbabit berhak menerima jawapan secara langsung daripada menteri yang bertanggungjawab, termasuk status terkini rakyat Malaysia yang terjejas.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mahu Kementerian Luar Negeri menjelaskan jumlah rakyat Malaysia yang telah disahkan selamat, cedera, hilang atau masih belum dapat dikesan.
Pada masa sama, katanya, kementerian perlu menerangkan tindakan konkrit yang sedang dilaksanakan di Nepal, termasuk operasi mengesan dan membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
"Siapakah pegawai kanan yang menyelaras operasi di lapangan, apakah bentuk kerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, dan apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan keluarga di Malaysia menerima perkembangan terkini secara berkala?" soalnya.
Dr Gunaraj berkata, sekiranya operasi mencari dan mengesan masih berlangsung, kementerian perlu memaklumkan kepada keluarga mengenai tindakan yang telah diambil, kekangan yang dihadapi serta langkah seterusnya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai bentuk bantuan yang telah diberikan kepada 55 keluarga, termasuk bantuan kebajikan, kewangan, kaunseling dan sokongan bagi mendapatkan maklumat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan tindakan kerajaan, termasuk usaha menggerakkan pasukan SMART berkaitan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
"Namun, perhatian dan arahan di peringkat tertinggi kerajaan perlu diterjemahkan kepada tindakan pantas serta komunikasi yang jelas dan berterusan kepada keluarga.
"Saya ingin tegaskan bahawa perkara ini bukan soal politik. Ini soal kemanusiaan," katanya.
Beliau berkata, setiap hari yang berlalu tanpa kepastian hanya menambahkan keresahan dan penderitaan keluarga yang menunggu berita mengenai insan tersayang.
"Jika maklumat masih belum dapat disahkan, jelaskan. Jika usaha mencari masih berjalan, terangkan tindakan yang sedang diambil.
"Tetapi berdiam diri bukan jawapan.
"Menteri Luar Negeri perlu tampil sekarang dan memberikan penjelasan kepada keluarga serta rakyat Malaysia," katanya.
Dr Gunaraj menegaskan keluarga terbabit sudah menunggu lebih dua minggu dan sewajarnya diberikan jawapan, sokongan serta jaminan bahawa kerajaan bersama mereka.




Comments