Naratif diesel naik jejaskan petani tidak berasas
- Suara Keadilan

- Mar 30
- 1 min read

Dakwaan tular di media sosial kononnya petani atau pesawah, termasuk di Pantai Timur marah kepada Kerajaan MADANI susulan kenaikan harga diesel sehingga menyukarkan aktiviti membajak sawah atau ladang disifatkan sebagai 'naratif politik' yang mengelirukan serta tidak berasaskan fakta.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, sektor pertanian sebenarnya tidak terjejas dengan kenaikan harga diesel susulan konflik di Asia Barat kerana kerajaan telah melaksanakan subsidi diesel bersasar khusus bagi melindungi petani atau pesawah.
"Naratif di media sosial kononnya rakyat Pantai Timur marah kepada kerajaan sebab diesel naik sampai sukar membajak sawah atau ladang adalah naratif politik yang mengelirukan.
"Petani masih boleh mendapatkan diesel bersubsidi melalui Program BUDI Agri-Komoditi yang disalurkan melalui Kementerian Pertanian. Maksudnya, isu ‘tak boleh bajak sawah’ sebenarnya tidak timbul," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Nadhir mengulas hantaran yang tular sepanjang cuti perayaan Aidilfitri lalu terutama tersebar luas di luar bandar mengenai kenaikan kos pertanian.
Dalam kenyataan sama beliau juga menjelaskan bahawa kenaikan harga diesel hanya melibatkan penggunaan tertentu, termasuk kenderaan diesel persendirian atau sektor yang tidak layak menerima subsidi.
"Hakikatnya, tiada laporan petani gagal membajak sawah kerana kos terlalu tinggi, tiada bantahan rasmi daripada persatuan pesawah atau pekebun kecil, dan tiada krisis pertanian dilaporkan.
"Jika benar berlaku, isu ini sudah lama menjadi tajuk utama media," jelas kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, naratif bahawa kenaikan diesel menyebabkan kesukaran mengerjakan sawah ladang dilihat sebagai usaha membina persepsi negatif terhadap kerajaan melalui penyebaran cerita tanpa fakta sahih.
"Dakwaan kenaikan diesel menjejaskan sektor pertanian adalah tidak tepat, bersifat politik dan bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat tanpa asas fakta," kata Ahmad Nadhir lagi.




Comments