Pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam diambil alih, proses intervensi rutin
- Suara Keadilan

- 1 minute ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melalui sayap wanitanya memberi jaminan bahawa situasi melibatkan Wanita Cabang Shah Alam terkawal meskipun isu berkenaan ditularkan di media sosial.
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar (gambar) berkata pimpinan sayap itu kekal fokus melaksanakan tanggungjawab tadbir urus parti seperti biasa.
"Wanita KEADILAN mengambil maklum akan berita dan perbincangan yang sedang tular mengenai Wanita KEADILAN Cabang Shah Alam.
"Kami ingin memberi jaminan kepada semua anggota dan masyarakat umum bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya, dan pimpinan sayap kekal fokus kepada tanggungjawab tadbir urus parti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua sayap Wanita di peringkat cabang diwajibkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) dalam tempoh yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada tatacara pengurusan parti.
Bagaimanapun, katanya, Wanita KEADILAN Cabang Shah Alam didapati gagal memenuhi kewajipan tersebut walaupun telah diberikan pelanjutan tempoh serta bimbingan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Wanita KEADILAN Pusat telah memulakan proses berdasarkan peraturan parti bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
"Memandangkan Wanita Cabang tersebut tidak memenuhi obligasi pentadbiran yang ditetapkan, Wanita KEADILAN Pusat telah memulakan proses sewajarnya selaras dengan Peraturan Tetap Wanita KEADILAN
"Bagi memastikan kebajikan serta aktiviti ahli-ahli di peringkat Shah Alam tidak terjejas, Wanita KEADILAN Pusat akan mengambil alih, menyelia, dan menguruskan segala urusan pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam bermula serta-merta," katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru semua ahli di peringkat akar umbi agar kekal tenang dan terus bersatu menghadapi langkah intervensi itu.
"Langkah intervensi pentadbiran ini adalah tindakan rutin demi membetulkan kelewatan tadbir urus dan memperkukuh struktur parti.
"Wanita KEADILAN kekal utuh, teratur dan komited sepenuhnya untuk memacu sayap ini ke hadapan tanpa sebarang gangguan," katanya lagi.




Comments