top of page

Pemimpin keluar parti tidak jejas landasan perjuangan KEADILAN Sabah

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 46 minutes ago
  • 2 min read

KEADILAN Sabah menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam kepimpinan peringkat nasional atau negeri tidak akan menjejaskan komitmen parti untuk terus memperjuangkan perkara perkara yang telah dipersetujui, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan agenda reformasi institusi demi kepentingan rakyat Sabah.


Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri (gambar) berkata, pihaknya kekal komited bersama memperjuangkan MA63 yang telah diperjuangkan sejak awal penubuhan parti melalui Artikel 5.8 Perlembagaan parti.


Beliau berkata, perjuangan MA63 itu juga menjadi manifesto utama Pakatan Harapan (PH) dalam setiap pilihanraya dan kini sedang giat dilaksanakan di bawah Kerajaan MADANI melalui pelbagai langkah, dasar dan pentadbiran yang memberi manfaat secara langsung kepada Sabah dan Sarawak.


Katanya, di bawah Kerajaan MADANI, reformasi MA63 mencatat kemajuan terbaik apabila 13 daripada 29 tuntutan berjaya diselesaikan dan sembilan daripadanya dicapai dalam tempoh pentadbiran hari ini.


"Antaranya termasuk pengiktirafan JKR dan JPS Sabah Sarawak di bawah AP182, penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik kepada Sabah, pengukuhan pentadbiran kehakiman Sabah dan Sarawak, pindaan Ordinan Buruh serta penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada pelabuhan negeri Sarawak.


"Kerajaan MADANI juga meningkatkan geran khas interim Sabah dan Sarawak daripada RM125.6 juta kepada RM600 juta, selain memperuntukkan RM6.9 bilion pembangunan untuk Sabah tahun ini termasuk projek bekalan air, elektrik dan (lebuh raya) Pan Borneo.


"Terkini, penyelesaian 40% Hak Sabah di bawah Kerajaan MADANI telah pun berada di peringkat antara Kerajaan dengan Kerajaan (Government to Government) yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).


"Semua itu membuktikan bahawa perjuangan reformasi dan MA63 sedang dilaksanakan secara konsisten, demokratik dan berteraskan prinsip keadilan demi kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Justeru menurut Ahmad Farid, pihaknya memandang proses keluar masuk anggota dalam politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi matang, namun tidak akan menjejaskan teras perjuangan parti.


Menurut beliau, KEADILAN Sabah akan terus bergerak ke hadapan dengan saf kepimpinan baharu serta semangat perjuangan yang kekal utuh demi kestabilan politik tanah air biarpun terdapat pimpinan lama dan berjasa telah meninggalkan parti itu.


Untuk rekod, Ketua Cabang Tuaran dan Semporna telah pun meninggalkan KEADILAN pada beberapa hari lalu. Tempat mereka telah dipangku oleh timbalan masing masing bagi mengekalkan perjalanan parti tanpa kendala.


"Buat mantan Ketua Cabang Tuaran dan Semporna, kami mengucapkan terima kasih atas jasa dan bakti sepanjang bersama perjuangan.


"Dengan kekosongan jawatan Ketua-Ketua Cabang, Cabang Tuaran dan Semporna kini dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang masing-masing dan struktur organisasi cabang kekal utuh mendukung agenda reformasi pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page