Naik kuota BUDI Diesel 500 liter untuk penduduk pedalaman Sabah, Sarawak
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI diminta mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi di bawah program BUDI Diesel kepada sekurang-kurangnya 500 liter sebulan bagi penduduk luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak yang bergantung kepada kenderaan diesel pacuan empat roda dalam aktiviti seharian.
Menurut Senator Abun Sui Anyit (gambar), walaupun mengalu-alukan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menerusi pengesahan MyKad, kuota maksimum 300 liter sebulan yang dinikmati pemilik kenderaan pikap dan jip pada waktu ini masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna di kawasan pedalaman.
"Saya mengalu-alukan usaha Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan mekanisme subsidi bersasar melalui program BUDI MADANI Diesel yang membolehkan rakyat yang layak menikmati diesel bersubsidi melalui pengesahan MyKad.
"Walau bagaimanapun, saya ingin merayu agar Kerajaan MADANI mempertimbangkan untuk menaikkan kuota asas BUDI Diesel daripada 200 liter kepada sekurang-kurangnya 500 liter sebulan bagi golongan tertentu, khususnya rakyat di Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan luar bandar, pedalaman dan bergantung sepenuhnya kepada kenderaan diesel pacuan empat roda untuk kehidupan harian dan pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penduduk di kawasan seperti Belaga, Sungai Asap, Bakun, Kapit dan beberapa kawasan pedalaman lain perlu menempuh perjalanan jauh melalui jalan balak, ladang, berbatu dan laluan luar jalan (off-road), sekali gus menyebabkan penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding pengguna di kawasan bandar.
Abun turut berkata beliau menerima aduan daripada pekerja sektor minyak dan gas luar pesisir, perladangan, pembalakan serta pembinaan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat tetapi tidak layak menikmati subsidi kerana mekanisme sedia ada dikaitkan dengan pemilikan kenderaan persendirian.
Sehubungan itu, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu mencadangkan kerajaan mewujudkan kategori khas bagi pengguna kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk pekerjaan di kawasan pedalaman, membenarkan pengguna sah kenderaan milik syarikat menikmati subsidi melalui mekanisme pengesahan bersesuaian serta menyediakan saluran rayuan bagi kuota tambahan berdasarkan keperluan sebenar.
"Saya yakin Kerajaan MADANI sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan mempertimbangkan realiti kehidupan rakyat Sabah dan Sarawak yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
"Keadilan dalam pemberian subsidi bukanlah bermaksud semua menerima jumlah yang sama, tetapi setiap rakyat menerima bantuan yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan hidup mereka," katanya lagi.




Comments