top of page

Naik Gaji Minima, e-Invois dan Insentif PKS

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Rakyat cepat menuduh cadangan menaikkan lagi gaji minima sekadar gula-gula politik untuk memancing undi.


Hakikatnya, dari sudut risiko politik, langkah ini sebenarnya sangat bahaya. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bila kos buruh dinaikkan mendadak, peniaga yang tersepit tiada pilihan selain memotong bilangan pekerja atau menaikkan harga barang. Kesannya?


Inflasi melonjak, rakyat marah, dan sokongan kepada kerajaan terhakis. Mana-mana pentadbiran tidak akan mengambil risiko sebesar ini semata-mata mahu menagih undi singkat.


Sebab sebenar langkah ini diambil Kerajaan MADANI adalah untuk memaksa negara keluar daripada perangkap ekonomi buruh murah. Kita sudah terlalu lama bangga kilang gergasi terpacak di Kulim atau Bayan Lepas, tetapi hakikatnya pekerja kita sekadar melakukan kerja pemasangan cip dan cat kereta.


Kerja 'kuli' di tingkat bawah, manakala jawatan tinggi dan R&D semuanya lari ke negara jiran. Ketagihan pada tenaga kerja murah inilah yang membuatkan industri tempatan malas melabur dalam mencipta atau menginovasi mesin dan teknologi.


Selesa di takuk lama


Dari sudut visi, tindakan 'menghentak' struktur ekonomi ini memang patut disokong. Malaysia perlukan kejutan supaya industri tempatan tidak terus selesa di takuk lama. Logiknya mudah: bila kos buruh makin mahal, barulah pelaburan dalam automasi dan Kecerdasan Buatan (AI) nampak berbaloi di mata pemilik perniagaan. Hal ini selari dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan fokus TVET baharu. Kalau kita tidak mengubah dari sekarang, sampai bila-bila kita ketinggalan dalam rantaian teknologi global.

Andre Lai Chen Heng
Andre Lai Chen Heng

Cuma masalahnya, teori atas kertas tidak selalunya selari dengan kenyataan. Kasihan juga apabila melihat nasib pengusaha PKS di lapangan.


Belum sempat mereka bernafas menanggung kos pematuhan e-Invois untuk menukar sistem dan latih pekerja, perluasan skop SST pula melonjakkan kos bahan mentah serta logistik. Apabila gaji minima dinaikkan lagi di atas timbunan beban ini, pusingan modal peniaga terus jadi nyawa-nyawa ikan.


Jurang merbahaya


Di sinilah timbulnya jurang yang berbahaya. Automasi dan AI bukannya barang murah yang boleh dipasang sekelip mata.


Macam mana PKS mahu membeli mesin canggih atau perisian baharu kalau wang tunai syarikat licin disedut cukai dan kos pematuhan undang-undang? Akhirnya, bukannya peniaga beralih ke teknologi, sebaliknya mereka terpaksa bekukan pengambilan pekerja, kecilkan pasukan, atau naikkan harga barang untuk bertahan hidup.


Niat kerajaan untuk memodenkan ekonomi negara memang wajar dipuji, namun jangan sampai sektor PKS yang menjadi tulang belakang negara gulung tikar di tengah jalan.


Dasar yang tegas mesti diiringi bantuan praktikal yang cepat, seperti rebat cukai terus untuk kos e-Invois dan geran padanan automasi mikro tanpa banyak birokrasi. Kita mahu PKS bergerak maju bersama-sama, bukannya muflis di tepi jalan sewaktu mengejar bas pemodenan ini.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page