Nahas trak FRU: MOT arah pasukan khas bebas siasat menyeluruh
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan satu pasukan petugas khas bebas ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan sembilan angota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak hari ini secara menyeluruh.
Menterinya Anthony Loke berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian serta merangka langkah pencegahan berkesan agar tragedi seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
"Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga anggota FRU yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat pasukan keselamatan dan negara. Semoga keluarga mereka yang ditinggalkan diberi ketabahan menghadapi dugaan ini.
"Saya telah mengarahkan supaya satu pasukan petugas khas bebas terdiri daripada pakar-pakar selain pegawai-pegawai MOT ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bercakap kepada media berkata
nahas maut membabitkan anggota FRU itu boleh dielakkan sekiranya lori yang terlibat menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) secara ketat.
"Tidak seharusnya berlaku jika kenderaan itu telah melalui ujian Puspakom. Kita bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu lori tetapi tuan punya syarikat juga harus dipertanggungjawabkan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR).
Terdahulu menurut laporan media, polis mengesahkan siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkan sistem steringnya tidak berfungsi.Â
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dipetik sebagai berkata selepas proses bedah siasat jenazah tujuh anggota beragama Islam dan dua jasad anggota bukan Islam itu akan dibawa ke Markas Unit 5, FRU Sungai Senam, Ipohuntuk diberi penghormatan terakhir.
Anggota yang disahkan maut ialah Sarjan Perumal a/l Sugunanathan, 44, dari Lahat, Ipoh; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, dari Tanjung Rambutan, Ipoh; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, dari Gunung Rapat, Ipoh; Koperal Nurit Ak Pandak, 34 (Kampar); dan Koperal Amiruddin Zabri, 38 (Gopeng).
Empat lagi ialah Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 (Taiping); Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 (Kuala Kurau); Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 (Ipoh); dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dari Lunas, Kedah.
Kemua jenazah mangsa beragama Islam akan disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Jasad mendiang Perumal akan dibawa ke rumah keluarganya di Lahat, manakala jasad mendiang Nurit yang merupakan anggota Orang Asli akan dibawa ke rumah keluarganya di Mambang Di Awan, Kampar.