N Sembilan stabil, pentadbiran utamakan keharmonian, bukan konflik
- Sidiqin Omar
- 2 hours ago
- 2 min read

Negeri Sembilan mengekalkan prestasi ekonomi yang baik kerana kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri yang mengamalkan pendekatan berteraskan keharmonian, bukannya konflik politik, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar).
Beliau berkata, walaupun pilihanraya kali ini menyaksikan persaingan politik yang kompleks apabila berlaku pertembungan antara rakan yang pernah bersama, rakyat Negeri Sembilan tetap mampu menilai prestasi dan kestabilan pentadbiran negeri.
"Ini masalah. Kita berlawan dengan kawan, kawan kita pula berkawan dengan musuh politik kita. Ertinya satu pilihanraya yang kompleks.
"Tetapi rakyat Negeri Sembilan tidak kompleks. Mereka tahu pentadbiran Negeri Sembilan berjalan dengan lancar.
"Tidak ada kesombongan yang melampau, tidak ada penindasan berlaku dan ia diterima rakyat dengan sebaiknya," kata beliau pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16, di sini malam tadi.
Mohamad Sabu berkata, pendekatan kerajaan yang mengutamakan keharmonian turut selari dengan prinsip AMANAH yang membawa konsep Islam Rahmatan Lil Alamin, iaitu Islam yang memberi manfaat kepada semua golongan.
Katanya, politik tidak seharusnya dibina atas sentimen perpecahan atau memainkan isu tertentu secara berlebihan, sebaliknya perlu berasaskan usaha membawa kebaikan kepada rakyat.
"Bagi kita daripada AMANAH, kita tetap dengan Islam Rahmatan Lil Alamin. Islam untuk semua.
"Kita tidak mahu bermain dengan perkara yang melampau walaupun ia ditonjolkan berkali-kali. Kita tetap berlumba untuk mencapai kebaikan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan bantuan kepada golongan Bumiputera perlu diberikan berdasarkan keupayaan, bakat dan kesungguhan seseorang.
Katanya, kerajaan perlu membantu mereka yang mempunyai potensi untuk maju termasuk usahawan kecil, penternak atau pengusaha yang memerlukan sokongan modal.
"Kita bantu berdasarkan bakatnya, kesungguhannya untuk maju. Kalau dia penternak ayam tetapi tidak cukup modal, kita bantu. Begitu juga yang membuka bengkel dan perniagaan lain," katanya.
Beliau berkata, pendekatan bantuan bersasar itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan memberi pulangan kepada rakyat dan tidak menjadi beban kepada kewangan negara.
Mengulas pentadbiran Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan, Mohamad Sabu berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara melalui hubungan antarabangsa dan pencarian peluang pelaburan.
Katanya, usaha diplomasi ekonomi yang dilakukan Perdana Menteri termasuk membuka peluang kerjasama tenaga dan perdagangan bertujuan memastikan kepentingan rakyat Malaysia terus terpelihara.
"Yang penting, beliau mencari jalan untuk siapa? Untuk rakyat. Dia bekerja untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia ini," katanya.
Beliau turut menyifatkan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika sebagai antara petunjuk usaha pemulihan ekonomi negara.
Mohamad Sabu berkata, kestabilan politik dan pentadbiran yang berorientasikan rakyat perlu diteruskan supaya Negeri Sembilan dan Malaysia dapat bergerak ke arah pembangunan yang lebih kukuh.
