Mustapha mulakan perbincangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa bagi memulakan perbincangan mengenai cadangan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Menerusi satu kenyataan, Mustapha berkata pertemuan bersama Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung persetujuan meningkatkan nisbah kerusi kedua-dua wilayah itu, baru-baru ini.
"Saya mengetuai BHESS (Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
"Pertemuan ini susulan perkembangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, termasuk Mesyuarat Majlis Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu," katanya dipetik laporan media.
Menurut Mustapha, cadangan yang dikemukakan ialah untuk menjadikan keseluruhan jumlah kerusi Parlimen di kedua negeri kepada 35 peratus berbanding 25.3 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di seluruh negara ketika ini.
Cadangan tersebut tegasnya bukan semata-mata soal menambah kerusi, sebaliknya berkaitan usaha memastikan kedudukan dan suara Sabah serta Sarawak dalam Parlimen terus diperkukuh selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia dan pelaksanaan MA63.
"BHESS akan terus bekerjasama dengan SPR supaya sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan secara teratur, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghormati bidang kuasa SPR," tambahnya.




Comments