Muktamad, nama bakal calon PH diumumkan Isnin ini
- Noraini Nordin

- 2 hours ago
- 2 min read

Debaran menanti siapakah calon-calon yang akan mewakil Pakatan Harapan (PH) di PRN Johor bakal terjawab pada Isnin ini.
PH akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor pada 22 Jun di Bukit Gambir, Muar.
Program yang bermula jam 8.00 malam itu akan dihadiri Pengerusi PH merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu serta semua pimpinan utama ketiga-tiga parti.
Dijangka lebih 5,000 akan hadir dalam program itu dan ini sekaligus menandakan iltizam PH untuk membuat kejutan dalam PRN Johor pada 11 Julai depan.
Pemilihan calon KEADILAN mantap
Dalam konteks KEADILAN yang dijangka akan bertanding 20 kerusi pada PRN Johor, pemilihan calon sudah pun berjaya diselesaikan tanpa masalah besar.

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, semua nama yang akan dicalonkan telah melalui proses temu duga yang ditetapkan, selain semakan latar belakang, tapisan rekod jenayah serta saringan integriti termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurutnya, proses tersebut penting bagi memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai keupayaan politik dan penerimaan rakyat setempat, tetapi juga rekod yang bersih serta kesediaan memikul amanah rakyat.
"Keputusan calon tidak dibuat secara bersendirian. Ia telah melalui proses kolektif oleh Jawatankuasa Penilaian Calon.
"Semua calon telah ditemu duga dan kita juga mengusahakan proses tapisan termasuk semakan rekod jenayah serta saringan SPRM," katanya dipetik.
Nurul Izzah mengakui, proses pemilihan calon dalam mana-mana parti tidak pernah mudah kerana melibatkan banyak pandangan, harapan akar umbi dan pertimbangan setempat.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan parti tidak boleh terhenti hanya kerana seseorang individu atau kumpulan tidak dinamakan sebagai calon.
Katanya, semua pihak perlu melihat proses memilih calon sebagai keputusan organisasi, bukannya keputusan peribadi mana-mana pihak.
Beliau turut menyeru pimpinan cabang, jentera akar umbi dan anggota parti supaya terus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan parti bergerak sebagai satu pasukan.
"Calon hanya satu komponen. Kekuatan sebenar KEADILAN ialah jentera, akar umbi dan disiplin organisasi.
"Kalau kita benar-benar percaya kepada perjuangan reformasi, kita tidak boleh menjadikan kekecewaan peribadi sebagai alasan untuk melemahkan parti," katanya.
Ruang untuk berkhidmat terbuka luas
Menurutnya, KEADILAN menghargai semua pimpinan dan anggota yang telah bekerja di lapangan.
Beliau berkata, ruang untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tidak terhad kepada jawatan calon semata-mata, sebaliknya boleh diteruskan melalui kerja organisasi, kempen, penyusunan jentera dan khidmat masyarakat.
Nurul Izzah turut menegaskan bahawa parti kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu rakyat, tawaran dasar dan usaha meyakinkan pengundi.
Beliau berkata, selepas keputusan dimuktamadkan, keutamaan parti ialah memperkukuh gerak kerja lapangan, merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi serta menggembleng seluruh kekuatan parti ke arah kemenangan.




Comments