Empat MP keluar KEADILAN, Kerajaan MADANI tidak hilang mandat


Keputusan empat Ahli Parlimen (MP) yang dipilih atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengosongkan kerusi masing-masing dan meninggalkan parti tidak boleh disifatkan sebagai kegagalan Kerajaan MADANI atau kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, perkembangan itu sebaliknya perlu dijadikan peringatan kepada parti untuk memperkukuh disiplin organisasi, memperkemas komunikasi serta memperbaiki pengurusan perbezaan pandangan.
Menurutnya, semua pihak perlu membezakan keputusan individu meninggalkan parti dengan persoalan mandat Kerajaan MADANI.
"Empat Ahli Parlimen mengosongkan kerusi masing-masing tidak bermakna secara automatik Kerajaan MADANI telah kehilangan majoriti atau hilang mandat rakyat.
"Kedudukan kerajaan ditentukan berdasarkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, manakala mandat rakyat secara keseluruhannya akan terus ditentukan melalui proses demokrasi dan pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan kehilangan mandat rakyat hanya berdasarkan perkembangan berkenaan merupakan kesimpulan terlalu awal.
Sebaliknya, Yahya berpandangan, kerajaan dan parti perlu menjadikan perkembangan itu sebagai ruang untuk menilai kelemahan serta memperkukuh agenda reformasi.
Katanya, sebarang dakwaan berkaitan kelemahan pentadbiran, tatakelola atau dasar kerajaan perlu dikemukakan berdasarkan bukti supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan.
"Jika ada dakwaan mengenai kelemahan pentadbiran, tatakelola atau dasar kerajaan, maka kemukakan bukti, kelemahan kita perbetulkan, salah faham kita jelaskan.
"Jangan lawan kritikan dengan emosi. Lawan dengan prestasi, fakta dan hasil. Inilah pendekatan yang sepatutnya menjadi kekuatan Kerajaan MADANI," katanya.
Yahya turut menegaskan Anwar perlu diberikan ruang dan sokongan untuk terus menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan negara, termasuk ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, reformasi institusi, tatakelola, pelaburan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, perbezaan politik dalam sesebuah parti merupakan perkara yang boleh berlaku, namun ia tidak seharusnya mengganggu kestabilan kerajaan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, rakyat mahukan harga barangan terkawal, ekonomi berkembang, peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan pelaburan serta bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Yahya mengingatkan KEADILAN supaya terus mengamalkan keterbukaan terhadap kritikan dan memberikan ruang kepada perbezaan pandangan dalam kalangan anggotanya.
Katanya, sebagai antara parti tonggak Kerajaan MADANI, KEADILAN perlu memperkukuh keupayaan mengurus perbezaan dalaman tanpa membiarkan setiap perselisihan berakhir dengan perpecahan.
"KEADILAN mesti lebih kuat dalam mengurus perbezaan di dalam rumah sendiri. Kritikan daripada anggota parti perlu didengar. Perbezaan pandangan perlu diberikan ruang. Tetapi keputusan organisasi juga perlu dihormati selepas proses demokrasi dalaman dilaksanakan," katanya.
Yahya yang juga Ketua Cabang Tanjong Karang turut menyeru semua pihak supaya tidak membesar-besarkan perbezaan politik sehingga mengorbankan kestabilan negara.
Beliau berkata, penilaian terhadap kerajaan perlu dibuat berdasarkan fakta dan hasil sebenar, termasuk prestasi ekonomi, pelaburan, usaha menangani kos sara hidup serta pelaksanaan reformasi institusi dan tatakelola.
"Kerajaan MADANI mesti terus bekerja. KEADILAN mesti terus memperkukuh diri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti terus memimpin agenda pembaharuan negara dengan fokus kepada masa depan Malaysia," katanya lagi.




Comments